KUNAK: Institusi tahfiz di daerah ini akan membantu lebih ramai ibu bapa menunaikan kewajipan dalam memastikan anak-anak mereka beriman kepada al-Quran selain membentuk generasi terpimpin.
Mufti negeri, Datuk Bungsu Aziz Jaafar berkata, penyertaan pelbagai pihak termasuk ibu bapa, masyarakat dan individu dalam membantu penubuhan lebih banyak tahfiz adalah dialu-alukan.
“Lebih ramai pelajar akan dapat membaca dan menghafaz al-Quran serta menjadikan kitab itu suci sebagai pedoman hidup mereka.
“Saya berbesar hati dan teruja kerana sebuah lagi tahfiz berjaya ditubuhkan di sini. Semoga Ma’ahad Tahfiz menjadi tempat memupuk bakti kita,” katanya selepas merasmikan bangunan Ma’ahad Tahfiz Ashabul Yamin di Jalan Sungai Duyung, Kg. Pangi.
Beliau juga berharap ibu bapa di kawasan sekitar atau di mana sahaja dapat terus memberikan sokongan moral dan material agar kewujudan Ma’ahad Tahfiz itu dapat diteruskan dan diperkasakan.
Sementara itu, Pengerusi dan pengasas Ma’ahad Tahfiz Ashabul Yamin, Ustaz Junaidy Jeffrey Abdul Nasir berkata ketika ini terdapat 80 pelajar yang menuntut di pusat dengan sembilan tenaga pengajar di mana empat daripadanya adalah sepenuh masa.
“Selain Pengajian Al-Quran, pelajar di sini juga didedahkan dengan pendidikan Bahasa Arab dan Fiqh”, katanya.
Junaidy berkata, beliau juga bercadang untuk membina kuarters guru dan masjid bersebelahan pusat itu.
Berita asal: Daily Express