Institusi pentadbiran kampung perlu bersama realisasikan matlamat luar bandar mampan – Jahid

datuk-jahid.jpg

Datuk Jahid bergambar bersama peserta Seminar Institusi Pentadbiran Peringkat Kampung Negeri Sabah 2023. (Kredit foto: FB Jahid Jahim)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Institusi pentadbiran kampung seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu menggalas tugas membantu kerajaan dalam merealisasikan matlamat pembangunan luar bandar mampan, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim.

Beliau berkata usaha menjadikan kawasan luar bandar menarik dan kondusif sebagai tempat tinggal, tempat bekerja serta lokasi pelaburan tidak hanya terletak di bahu kerajaan semata-mata tetapi turut merangkumi peranan institusi pentadbiran kampung selaku pemimpin di peringkat akar umbi.

Jahid berkata peranan institusi pentadbiran peringkat kampung juga dilihat signifikan untuk memastikan komitmen merapatkan jurang ketidakseimbangan pembangunan antara bandar, luar bandar dan wilayah tercapai.

“Dalam hal ini, program pemerkasaan kepimpinan desa penting untuk dilaksanakan merangkumi aspek pembangunan dan pemantapan personaliti serta integriti kepimpinan desa.

“Selain itu, perancangan, penyelarasan, pelaksanaan program pembangunan kampung dan kemajuan komuniti contohnya dalam bidang keusahawanan dan ekonomi juga wajar dititikberatkan dalam usaha melestarikan kawasan luar bandar,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Institusi Pentadbiran Peringkat Kampung Negeri Sabah 2023 di sini, kelmarin.

Sebanyak 235 peserta terdiri daripada JKKK dari Penampang, Putatan, Kota Kinabalu, Tuaran dan Tamparuli menghadiri program anjuran Institut Kemajuan Desa cawangan Sabah, antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada kepimpinan desa mengenai peranan memajukan masyarakat desa seterusnya menyokong usaha kerajaan ke arah transformasi digital dalam pengurusan dan pentadbiran organisasi.

Dalam pada itu, Jahid berkata kerajaan Sabah menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar negeri mempersiap peruntukan secukupnya bagi tahun depan sebagai komitmen memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar yang begitu signifikan ketika ini.

Beliau berkata peruntukan itu antara lain untuk mempertingkat kualiti prasarana dan ekonomi demi manfaat penduduk luar bandar supaya mampu berdaya saing serta seiring dengan momentum kemajuan negara.

Jahid berkata peruntukan pembangunan RM7.439 bilion kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi tahun depan juga memperlihat komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan keperluan di desa setanding dengan kawasan bandar, tanpa meminggirkan mana-mana kelompok rakyat.

“Peruntukan ini dilihat berupaya menyokong pembangunan sosioekonomi serta mewujudkan persekitaran kehidupan luar bandar sejahtera dan makmur sebagaimana dinyatakan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030,” katanya.

 

Sumber: BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top