KUALA LUMPUR: Pegawai polis wanita yang dikenali sebagai ‘Inspektor Shiela’ yang terbabit dalam beberapa kejadian yang tular di media sosial akan didakwa di Mahkamah Selayang hari ini.
Pegawai yang digantung tugas sejak minggu lalu itu dijangka menghadapi sekurang-kurangnya dua pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (melakukan ugutan jenayah) dan Seksyen 186 Kanun sama (menghalang penjawat awam).
Pegawai itu sebelum ini dikecam netizen selepas dua klip video berdurasi 24 dan 10 saat dimuat naik di media sosial menunjukkan dia memarahi seorang lans koperal di Gombak, Selangor.
Susulan itu, dia dipanggil polis Selangor untuk merekodkan keterangannya sebelum ditahan di ibu pejabat polis Gombak kerana kejadian itu.
Sebelum ini dilaporkan polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian seorang pegawai polis dikenali sebagai Inspektor Sheila terbabit dalam pertengkaran dengan orang awam di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Brickfields.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pada sidang media pada Khamis, berkata pegawai itu telah digantung tugas sehingga proses siasatan selesai.
Beliau berkata kenyataannya direkodkan pada 18 Jun dan dua kertas siasatan telah diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman pada 19 Jun.
Beliau berkata, sebanyak enam kertas siasatan tatatertib dibuka oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman berhubung kes membabitkan pegawai itu.