Insiden Rafizi Dipukul Di Cabang Keningau 2018: PKR Gantung Keahlian Daing Reduan

rafizi.jpg

Rafizi, (Gambar fail)

Kongsi Bersama

PKR menggantung keanggotaan Daing Muhammad Reduan Bachok sementara menunggu keputusan Mahkamah Kota Kinabalu Sabah berhubung tuduhan memukul naib presiden parti itu Rafizi Ramli, pada 2018 lalu.

Surat yang dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim memaklumkan penggantungan itu berkuat kuasa hari ini, 21 September 2020.

Surat itu menyatakan penggantungan Daing di bawah Fasal 41.6 perlembagaan PKR.

“Fasal 41.6: Majlis Pimpinan Pusat berhak menggantung keanggotaan mana-mana anggota atau melarang anggota tersebut dari memegang jawatannya secara sementara sehingga keputusan dicadangkan oleh Lembaga Disiplin.3.

“Lembaga Disiplin akan mengemukakan cadangan kepada MPP apabila Mahkamah telah membuat keputusan nanti,” menurut surat itu.

Daing Reduan yang baru dilantik sebagai penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya pada minggu lalu digantung keanggotaannya hari ini ekoran insiden melibatkan Rafizi pada November 2018.

Rafizi pada November 2018 mendakwa dipukul di bahagian kepala oleh seorang lelaki ketika membuat tinjauan proses pengundian pemilihan di Cabang Keningau, Sabah.

Bagaimanapun, Rafizi yang juga bekas anggota parlimen Pandan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

Daing juga dilaporkan enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan itu, namun pihaknya telah hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, pada 6 November 2018.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika dihubungi turut mengesahkan penggantungan tersebut.

“Ya (Daing digantung keahlian),” katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Malaysiakini juga dalam usaha mendapatkan maklum balas daripada Daing sendiri, tetapi sehingga kini masih belum berhasil. – Malaysiakini

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top