Inovasi Sistem Air Graviti Bersih Berteknologi Hijau merevolusikan pembekalan air bersih kepada masyarakat luar bandar

Air-teknologi-hijau.jpg
Kongsi Bersama

TAMBUNAN: Isu bekalan air bersih di kawasan pedalaman Sabah mendorong seorang anak jati tempatan dari Tambunan, Ir Joe Primus Kayau tampil dengan idea inovasi teknologi hijau sistem penapis air graviti yang mampu menghasilkan air bersih sehingga 200,000 liter sehari.

Menurut Joe, potensi idea yang pada asalnya hanya digunakan untuk menyelesaikan masalah air di kampung beliau itu mendapat perhatian Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim dan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) Malaysia sehingga membawa kepada pelaksanaan Projek Komuniti Air Graviti Bersih di beberapa kawasan luar bandar yang terpencil di Sabah.

Sementara itu Timbalan Ketua Menteri I yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan , Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan berkata, dengan teknologi canggih yang diperkenalkan oleh Joe itu ribuan orang dalam komuniti luar bandar bakal mendapat bekalan air bersih yang berkualiti.

“Saya sangat berbesar hati kerana dapat berada di sini untuk mempersembahkan kecemerlangan hasil inovasi anak tempatan Sabah dan penyelidikan yang telah dilakukan oleh pasukan pakar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sistem Air Graviti Bersih Berteknologi Hijau di Kampung Sintuong-Tuong, Tambunan semalam.

Menurutnya salah satu keunikan sistem itu ialah kemampuannya untuk mendapatkan air bersih daripada sumber semula jadi dengan menjaga keaslian dan keutuhan saliran alam semulajadi.

Jelasnya elemen-elemen teknologi tinggi yang digunakan dalam sistem menjadikannya berupaya menghasilkan air yang bersih dan bebas daripada pencemaran berdasarkan piawai yang ditetapkan.

“Dengan perasmian sistem air graviti bersih berteknologi tinggi ini, kita berharap agar masyarakat dapat menikmati manfaat yang segera dan berterusan daripada kemajuan teknologi.

“Sistem ini tidak hanya memberikan kelebihan kepada masyarakat, malah ia turut memberikan impak positif terhadap alam sekitar dengan mengurangkan pengekstrakan sumber air semula jadi yang tidak berkesudahan,” katanya.

Kitingan turut berterima kasih kepada Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah dan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim kerana telah mencadangkan projek itu dilaksanakan di Tambunan serta semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan tersebut.

Sementara itu Joe semasa sidang media berkata pelaksanaan pembinaan Air Graviti Bersih Berteknologi Hijau telah dimulakan pada bulan September lalu dan siap pada penghujung bulan November baru-baru ini.

“Kos keseluruhan pembinaan di bawah RM500 ribu ini telah memberi menfaat air bersih berteknologi hijau kepada lebih empat puluh rumah masyarakat Kampung Sintuong-Tuong,” katanya.

Prof Madia Dr Gaim James Lunkapis daripada Fakulti Sains Sosial UMS berkata mereka berkolaborasi dengan Pembinaan Kiawayan Sdn Bhd khususnya untuk menyelesaikan bekalan air di luar bandar.

Menurutnya inovasi bekalan air graviti bersih itu berteknologi hijau atau tidak memerlukan bekalan elektrik, dan ia tidak menggunakan peralatan yang canggih bermakna boleh dikendalikan oleh orang kampung.

Teknologi tersebut terdiri daripada teknologi muka suap (intake) yang mana telahpun dipatenkan, seterusnya melalui tiga peringkat penapisan dan pengumpulan air dalam tangki simpanan sebelum disalurkan kepada penerima manfaat iaitu komuniti kampung.

Menurutnya lagi projek pertama di Kampung Rungus Nahaba yang berstatus penyelidikan telah dibiayai oleh MOSTI.

Jelasnya di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah Malaysia terdapat enam buah kampung telah diberi manfaat dan tiga lagi bakal siap tahun ini.

Enam kampung tersebut ialah Kampung Koliposuan, Tamparuli; Kampung Bukit Mengidam, Telupid; Kampung Tukalilan dan Kampung Langsat, Tenom; Kampung Tudan, Kiulu; dan Kampung Sintuong-tuong, Tambunan.

Turut bersama pada majlis itu ialah Pegawai Daerah Tambunan, Sabitun Makajil; wakil Pengarah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Sabah, Rosman Okasa; dan Setiausaha Perhubungan Awam Menteri Pembangunan Luar Dan Bandar Sabah, Romeo Sindeh.

 

Sumber berita dan gambar: Jeffrey G. Kitingan Page

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top