Inisiatif Tabung Cerdik: 144 Pelajar Tingkatan 3 Di Matunggong Terima Peranti Digital

Julita.jpg
Kongsi Bersama

KUDAT: Seramai 144 orang pelajar Tingkatan 3 di SMK Pinawantai, Matunggong, sini menerima sumbangan peranti digital (laptop) di bawah Inisiatif Tabung Cerdik (Cerdik) negara kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki yang merasmikan majlis penyerahan peranti digital yang dilaksanakan melalui Yayasan Hasanah sebuah Yayasan di bawah Kazanah Nasional berharap para penerima tersebut memanfaatkan kemudahan yang diberikan.

“Kita sedar dan mengakui bahawa ilmu pengetahuan adalah merupakan salah satu aset terpenting dan menentukan kemajuan sesebuah negara. Dengan kemajuan IT dan ICT seseorang itu kini boleh mendapatkan sejumlah maklumat yang diperlukan dengan lebih mudah, cepat dan tepat tanpa halangan-halangan fizikal, geografi mahupun masa. Inilah yang dikatakan dunia tanpa sempadan,” katanya.

Julita yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat juga yakin selain pihak yang berkaitan dengan pendidikan, pihak swasta dan badan korporat mempunyai tanggungjawab sosial dan memberikan sokongan penuh kepada pihak sekolah dalam menentukan kecemerlangan pelajar.

“Saya amat berterima kasih kepada Datuk Seri Dr. Maximus, Ahli Parlimen P168 Kota Marudu di atas pemakluman mengenai inisiatif ini serta sekolah-sekolah yang terlibat. Daripada maklumat yang diterima, sebanyak 302 peranti di bawah inisiatif berkenaan telah diberi ke kawasan Matunggong. Selain SMK Pinawantai, SMK Sikuati juga turut menerima agihan tersebut”, kata Julita lagi.

Dalam majlis yang sama, Julita turut melancarkan pemberian sim kad kepada pelajar SMK Pinawantai iaitu sumbangan daripada ALTEL Holdings sebuah anak syarikat Yayasan Al Bukhari. Sumbangan ini adalah pelengkap kepada usaha kerajaan dalam membantu kelancaran pembelajaran khususnya pelajar di luar bandar. Sumbagan ini membolehkan pelajar mendapat laluan internet dalam tempoh 365 hari dengan 1GB data sehari.

“Bertepatan sekali dengan majlis kita pada pagi ini, SMK Pinawantai dipilih sebagai tuan rumah pelancaran penyerahan sim kad kepada pelajar. Pelajar bolehlah menggunakan kemudahan yang diberikan untuk tujuan pembelajaran di kala negara kita sedang dilanda pandemik Covid-19, yang menuntut pelajar belajar dalam talian kerana tidak dapat bersemuka dengan guru-guru di sekolah,” ujarnya.

“Saya juga ingin mengingatkan para pelajar agar memanfaatkan kemudahan yang diberikan. Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis pada pagi ini, khususnya pihak sekolah, Yayasan Hasanah dan Net2One Sdn. Bhd. yang sudi menyumbang dan bekerjasama.

“Saya yakin kerjasama seumpama ini tidak akan terhenti di sini sahaja. Sekiranya terdapat ruang dan peluang “kecil tapak tangan nyiru kita tadahkan”. Semoga apa yang kita lakukan pada pagi ini memberikan pulangan yang terbaik kepada kepentingan anak-anak yang kita kasihi,” kata Julita yang turut menyumbang peralatan peperiksaan kepada para pelajar STPM yang menduduki peperiksaan semester 2.

Turut hadir ialah Pengetua SMK. Pinawantai, Abdul Gani Haiyun; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kudat Sektor Perancangan, Matius Alok; Pengurus Wilayah Altel Holding, Rosalind Mak; Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggong, Willey Lampaki; Pegawai Pemimpin Masyarakat (PPM) Matunggong, Marius Masain; Ketua daerah Mahkamah Anak Negeri Matunggong, Orang Kaya-Kaya (OKK)Samuel Mojiun; Yang Di-pertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SMK. Pinawantai, Rosmin Manggong. – Warta Oriental


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top