1.Kalau betul berita Adun Kemabong, Jamawi Jaafar akan mempertahankan kerusinya atas tiket UMNO, ia adalah berita sedih bagi orang-orang yang tak cerdik dan berita buruk bagi penyokong Warisan Plus.
2. Bagi yang panjang akalnya, ia merupakan berita baik. Jamawi membuat pilihan yang betul, UMNO juga membuat keputusan yang tepat.
3. Yang nak beretorik tentang kesetiaan, tentang prinsip yang tidak bertempat, sila main jauh-jauh. Ada masanya, idealis cuma sesuai duduk di perpustakaan.
4. Kita nak berperang bukan naik main dam aji. Kita perlu menang. Tak ada istilah asal jangan kalah, seri pun tak apa. Tak ada seri-seri. Mesti menang.
5. Dan untuk menang, kita perlu buat apa sahaja yang dibenarkan oleh undang-undang. Paling penting, kena letak calon yang betul. Yang winnable. Itu rasionalnya.
6. Dan Jamawi itu calon boleh menang. Datangnya pun dari universiti UMNO. Soal dia masuk sekolah lain sekejap untuk mencari ilmu dan pengalaman tak patut dipertikai. Soalnya dia masih winnable.
7. Bukan Jamawi sahaja, sesiapa pun juga yang ada potensi untuk menang harus dijadikan pilihan. Tak kiralah dia keluar masuk parti berapa kali. Bagi menang dulu. Kemudian nak hukum suruh potong setengah bulan elaun untuk parti sampai habis penggal sebagai denda atas kesilapan dahulu pun rasanya tak jadi masalah. Yang penting, kerusi kita punya. Kawasan kita punya. Sabah kita perintah.
8. Harus diingat, dalam banyak keadaan calon memainkan peranan. Bukan semua yang undi parti kita dahulu ahli parti. Yang tak berparti pun ramai. Dan mereka mengundi kita kerana calon yang kita letak. Kalau betul calonnya, silap-silap penyokong parti lawan pun akan bagi undi pada parti kita. Dan begitu juga sebaliknya.
9. Kesimpulannya; ini bukan masa nak beretorik. Ini masa untuk berdepan dengan kenyataan. Masa untuk menang. Jadi sesiapa pun yang hendak bekerjasama dengan kita dan untuk kita, jangan ditolak. Apatah lagi kalau orang itu sememangnya pernah jadi ayam tambatan kita dan pernah rebah bangun untuk kita!
Oleh: Tulus Budiman