KOTA KINABALU: Kerajaan dan rakyat sama-sama memainkan peranan dalam menangani masalah inflasi di negara ini.
Demikian antara mesej yang tersirat dalam hantaran terbaharu Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak (SSK) di Facebook.
ADUN Usukan, yang juga bekas ketua menteri Sabah itu berkata di pihak kerajaan antara langkah yang perlu diambil termasuklah menetap dan mengawal harga barang kawalan khususnya pada musim perayaan dan mengadakan kempen penurunan harga barangan dengan kerjasama pasar raya-pasar raya
Menurutnya, pihak berkuasa juga boleh mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga secara melampau.
“Selain itu, rakyat Malaysia mungkin boleh mengambil kesempatan ini untuk mengkaji semula pengurusan kewangan sendiri.
“Pada masa sekarang, kita kena lebih bijak dalam berbelanja. Mungkin kita boleh merancang pembelian barang keperluan harian dan isi rumah lebih awal dan teliti, mengurangkan perbelanjaan yang tidak penting atau berusaha mencari sumber pendapatan sampingan,” katanya.
Salleh yang juga bekas menteri cabinet Persekutuan berkata inflasi bermaksud peningkatan harga barangan yang berterusan secara umum.
“Contohnya, kadar inflasi pada tahap 2.5% bererti perbelanjaan purata individu atas barangan utama dan perkhidmatan telah meningkat pada kadar 2.5% sepanjang tempoh setahun,” katanya.
Beliau berkata statistik negara dari DOSM (Jabatan Perangkaan Malaysia) menunjukkan peningkatan Indeks Harga Pengguna (IHP) sebanyak 3.3% pada November 2021 daripada 120.0 setahun lalu, satu peningkatan untuk tempoh sembilan bulan berturut- turut.
Salleh berkata faktor utama peningkatan itu adalah disebabkan peningkatan permintaan berbanding dengan bekalan, seiring dengan pembukaan semula ekonomi domestik dan global.
Beliau berpendapat inflasi di negara ini dijangka akan terus meningkat kesan daripada lonjakan harga global bahan api, makanan dan bahan berkaitan pembinaan termasuk besi.
“Sudah tentunya peningkatan harga ini memberi kesan buruk kepada kuasa membeli rakyat sebagai pengguna.
“Sebagai pengguna, ianya mempengaruhi kadar inflasi sebagai seorang individu kerana ia adalah berbeza bagi setiap negara,” katanya.
Sehubungan itu, Salleh mengajak rakyat supaya sentiasa berwaspada dan bekerjasama dalam mempraktikkan pengurusan kewangan yang bijak, sekali gus membantu menjayakan usaha mengekang kesan negatif inflasi.