Industri Pelancongan Penting Dalam Pembangunan Ekonomi

dr-jeffrey-pusat-infomasi.jpg

(Kredit foto: Jeffrey G. Kitingan Page)

Kongsi Bersama

KENINGAU: Industri pelancongan adalah sektor yang sihat dan penting dalam ekonomi negeri jika diurus dengan baik.

Atas faktor itu Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan menyeru semua penggiat-penggiat pelancongan di daerah Keningau dan sekitarnya memperhebatkan promosi pelancongan dengan strategi yang efektif agar dunia luar lebih mengenal daerah ini dan Sabah amnya serta tertarik untuk berkunjung ke mari.

Beliau berkata demikian di majlis perasmian Pusat Pelancongan Daerah Keningau di sini baru-baru ini.

Menurut Kitingan, sektor pelancongan penting bagi ekonomi kerana aktiviti pelancongan mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatan pendapatan negeri dan mempromosikan budaya dan warisan tempatan.

“Seiring dengan peredaran zaman, pelancongan telah berkembang dan berubah dengan cara yang luar biasa, menjadikannya salah satu sektor yang paling pesat membangun dalam ekonomi global,” katanya.

Jelasnya industri pelancongan memberi peluang pekerjaan seperti pemandu pelancong, pengusaha rumah penginapan dan restoran memberi sumbangan besar kepada perkembangan sosio-ekonomi di kawasan berkenaan.

Berdasarkan kepada maklumat “Sabah Tourism Statistics” sehingga bulan Mei tahun ini, bilangan pelancong ke Sabah ialah 988,680 orang. Dalam tempoh yang sama pada tahun 2022, jumlah itu seramai 558,169 orang. Ia menunjukkan pertumbuhan sebanyak 77.13% dan jumlah pelancong ke Sabah dari tahun ke tahun terus meningkat.

“Oleh yang demikian, kita harus bersedia untuk menerima lebih ramai lagi pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara pada masa akan datang.

“Seiring dengan industri ini, infrastruktur seperti lapangan terbang, jalan raya dan pengangkutan awam telah ditingkatkan dan diperbaharui. Kehadiran infrastruktur yang baik dan moden ini bukan sahaja memudahkan akses pelancongan tetapi juga memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat setempat,” katanya.

Menurutnya industri pelancongan memperkayakan penghargaan terhadap budaya dan alam semulajadi negeri melalui konsep eko-pelancongan dengan memberi kesempatan kepada para pelancong menjelajah kawasan semulajadi seperti Banjaran Crocker.

“Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja memberi pengetahuan tetapi juga mengingatkan kita tentang pentingnya keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharan alam semulajadi,” katanya.

Kitingan berkata pembangunan industri pelancongan menarik pelabur asing dan bukan hanya membantu kerajaan dalam menanggung kos pembangunan sektor pelancongan tetapi juga memberikan manfaat yang lebih besar kepada rakyat dan negara.

“Tidak kenal maka tidak cinta. Kita harus mempromosikan daerah kita ini agar rasa cinta dan minat akan tempat kita ini dapat timbul di hati pelancong samada dalam mahupun luar negeri,” ujarnya.

Turut hadir ialah ADUN Bingkor merangkap Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Robert Tawik; ADUN Liawan Datuk Annuar Ayub Aman dan Pegawai Daerah Tambunan, Sobitun Makajil.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top