Individu Sudah Mendaftar di Sabah Tapi Belum Ada Janji Temu Boleh Terus ke PPV – Shahelmey

Shahelmey-Yahya-SAbah-PPV-Vaksin-Emailpic.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Orang ramai di negeri ini yang sudah mendaftar di MySejahtera tetapi belum mendapat janji temu untuk vaksinasi boleh hadir secara terus ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kawasan tempat tinggal mereka.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya berkata, mereka yang berada di sekitar Kota Kinabalu, boleh ke PPV Dewan Sri Putatan, PPV Universiti Malaysia Sabah (UMS) atau PPV Wisma Wanita.

“Individu di sekitar Kota Kinabalu yang sudah mendaftar untuk menerima vaksin melalui MySejahtera tetapi belum mendapat janji temu boleh hadir secara terus ke PPV Dewan Sri Putatan, PPV Universiti Malaysia Sabah (UMS), dan PPV Wisma Wanita.

“Ini bagi mengelak kesesakan berlaku di sesetengah PPV yang mempunyai kapasiti tinggi. Kita mahu rakyat yang hadir ke PPV untuk menerima vaksin berasa selesa dan selamat,” katanya dalam kenyataan semasa menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Masnah Matsalleh di pejabatnya pada Khamis.

Shahelmey yang juga Pengarah Operasi Pasukan Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Sabah berkata, keutamaan akan diberikan kepada warga emas yang hadir ke PPV dengan laluan khas disediakan.

“Bagi warga emas yang belum mendapatkan vaksin, mereka boleh hadir terus ke mana-mana PPV yang berdekatan dengan kawasan tempat tinggal mereka dan akan diberikan keutamaan dalam proses mendapatkan vaksin.

“Kita mahu mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 ini terutamanya kepada warga emas yang mempunyai risiko tinggi untuk mendapat jangkitan,” katanya.

Sementara itu, Shahelmey berharap pemimpin masyarakat setempat, orang ramai serta majikan akan terus bekerjasama membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok.

“Ini agar kita dapat kembali menjalankan kehidupan harian kita dengan lebih selamat. Dengan pengambilan vaksin ini kita dapat mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top