Individu Dari Semenanjung, Sarawak Dibenarkan Masuk Ke Sabah

kota-kinabalu-airport-040.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Individu dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak akan dibenarkan memasuki Sabah bagi tujuan lawatan sosial dan tarikh kuatkuasa kebenaran itu akan diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) hari ini.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun keputusan kerajaan negeri memberi kebenaran itu bagaimanapun bergantung kepada beberapa syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau berkata, semua individu yang akan masuk ke Sabah melalui pintu masuk udara, laut dan darat perlu menjalani swab ujian pengesanan RT-PCR atau RTK-Ag Covid-19 tiga hari sebelum perjalanan.

Masidi berkata, kebenaran itu dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor bagi memperluaskan kategori individu yang dibenarkan melakukan perjalanan antara Semenanjung, Sarawak dan Sabah.

Menurut beliau, pihaknya mendapati syarat sedia ada yang dikenakan oleh pihak berkuasa sekarang agak ketat dan hanya individ tertentu dibenarkan melakukan perjalanan.

“Tapi sekarang kita fikir (tiba masanya) untuk benarkan lebih banyak kategori individu untuk melakukan perjalanan,” katanya semasa sidang media perkembangan semasa Covid-19 Sabah, di sini pada Jumaat.

Masidi berkata, kebenaran ini bukan hanya bertujuan untuk melancong sahaja sebaliknya, ia membolehkan ahli keluarga yang sudah agak lama tidak bertemu boleh bertemu.

“Kita tahu masyarakat Kristian akan meraikan Krismas dan sudah pasti ada yang berhasrat untuk balik berjumpa keluarga tapi, syarat perjalanan agak ketat.

“Atas sebab itu, kita permudahkan syarat perjalanan. Ini membantu merapatkan silaturahim ahli keluarga untuk bertemu setelah sekian lama terkurung akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, kebenaran kemasukan ke Sabah ini melibatkan kemasukan domestik bagi pemegang MyKad, MyPR dan MyKAS; pemegang pas-pas imigresen jangka panjang (bukan warganegara) yang sah tempoh serta suami atau isteri kepada rakyat Sabah dan tanggungan.

Manakala, kemasukan bagi individu bukan warganegara yang tidak memiliki pas-pas imigresen jangka panjang wajib mendapatkan kelulusan khas daripada kerajaan negeri Sabah.

Katanya, hanya individu yang tidak bergejala dengan keputusan ujian negatif akan dibenarkan masuk ke Sabah.

Untuk pergerakan keluar dari Sabah pula, tiada kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) diperlukan.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top