Imuniti Kelompok Di Tawau Dijangka Dua Bulan Lagi

Vaksin-tawau.jpg
Kongsi Bersama

KALABAKAN: Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Tawau menjangkakan imuniti kelompok di Tawau akan dicapai dalam masa dua bulan lagi sekiranya bekalan vaksin mencukupi.

Pegawai PKK Tawau, Dr G. Navindran berkata pihaknya optimis imuniti kelompok akan dicapai tidak lama lagi berdasarkan kelancaran program vaksinasi yang diadakan ketika ini.

“Seramai hampir 90,000 penduduk daripada 390,000 orang yang layak di Tawau dan Kalabakan sudah menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Sekiranya bekalan vaksin mencukupi dan program vaksinasi berjalan lancar seperti sekarang, imuniti kelompok 80 peratus boleh dicapai dalam masa dua bulan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membuat tinjauan program outreach di Felda Umas-Umas, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, pihaknya akan mengadakan program outreach untuk daerah Kalabakan setiap hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad.

“Saya mengharapkan semua penduduk dapat memberikan kerjasama untuk datang mengikut janji temu dan mendaftar dengan segera.

“Lebih 2,000 penduduk Kalabakan sudah diberikan suntikan vaksin dan program ini dilakukan secara berterusan sehingga semua penduduk di sini menerima suntikan tersebut,” katanya.

Mengulas mengenai kenaikan jangkitan wabak di Tawau, katanya kebanyakan jangkitan berlaku di kawasan Pulau Sebatik.

“Peningkatan di Pulau Sebatik terutamanya yang di sempadan negara difahamkan disebabkan ramai warga asing yang positif masuk secara haram di sana.

“Oleh itu, kami akan menjalankan outreach di sana secepat mungkin, selain meminta pasukan keselamatan mengawal kemasukan warga asing bagi mengelak penularan wabak berlaku,” katanya.

Navindran berkata, program outreach di Felda Umas-Umas dibuat kerana kawasan ini sudah tiga kali dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

“Program outreach dua hari ini, kami hanya sasarkan untuk penduduk Felda Umas-Umas sahaja iaitu seramai 2,000 orang.

Bagaimanapun, program vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kalabakan terus dilaksanakan di setiap hujung minggu,” katanya.

Beliau berharap, semua penduduk di Tawau dan Kalabakan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) agar penularan wabak tidak terjadi terutamanya yang selalu di kenakan PKPD.

“Penduduk di kawasan PKPD juga diharapkan jangan tinggalkan kediaman dan beri kerjasama untuk melakukan ujian saringan COVID-19,” katanya. – Utusan Borneo

Foto: Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top