KOTA KINABALU: Seramai 496 pendatang tanpa izin warga Filipina diusir pulang ke negara asal menerusi jalan laut dari Pelabuhan Sandakan, Sabah semalam, kata Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk Muhamad Sade Mohamad Amin.
Beliau berkata, penghantaran pulang pendatang tanpa izin warga Filipina itu adalah kali ketiga yang dilakukan Imigresen Sabah tahun ini.
“Semua pendatang tanpa izin berkenaan dihantar pulang melalui Pelabuhan Sandakan, Sabah terus ke Pelabuhan Zamboanga, Filipina,” kata beliau menurut laporan Berita Harian.
Sade berkata, semua 496 pendatang tanpa izin warga Filipina itu sebelum ini ditahan di Depot Tahanan Imigresen Kota Kinabalu dan Papar sejak tahun lalu.
Tambah beliau, semua mereka yang diusir itu melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963, selain sudah menjalani hukuman mengikut perundangan negara untuk diusir keluar dari Sabah.
“Penghantaran itu menjadikan jumlah pendatang tanpa izin yang diusir dari Sabah seramai 1,725 orang untuk tahun ini,” katanya.
Kata beliau, proses tapisan kesihatan yang ketat, termasuk ujian saringan Covid-19 ke atas semua pendatang tanpa izin bagi suatu tempoh yang ditetapkan turut dilakukan.
“Ia bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan Covid-19 terhadap semua pendatang tanpa izin sebelum penghantaran pulang dilaksanakan seiring dengan SOP ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
Foto: Jabatan Imigresen Negeri Sabah