Imigresen Sabah, Labuan Cari Penyelesaian Isu Kelemahan Labuan-Menumbok

maximus.jpg
Kongsi Bersama

LABUAN: Isu kelemahan yang membenarkan kemasukan individu memasuki Sabah melalui Labuan tanpa sebarang pemeriksaan, akan diselesaikan tidak lama lagi, hasil usaha Jabatan Imigresen di kedua-dua buah kawasan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata demikian selepas pertemuan bersama pegawai kanan Jabatan Imigresen, di sini, semalam.

Beliau berkata Jabatan Imigresen Sabah dan Labuan telah memberi jaminan bahawa mereka bersedia mengambil tindakan yang perlu bagi menguatkuasakan undang-undang dan peraturan untuk melindungi hak Imigresen Sabah, sekiranya Kerajaan Negeri menuntut hak dan kuasa penuhnya seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kami melihat terdapat kelemahan imigresen antara Labuan dan pintu masuk ke Sabah melalui Terminal Feri Menumbok dan Jesselton Point, di mana tidak ada pegawai imigresen ditempatkan di lokasi tersebut.

“Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) telah membangkitkan isu ini kerana khuatir terdapat individu yang menyalahgunakan kelemahan ini untuk masuk dan keluar Sabah tanpa pemeriksaan, rekod dan dokumentasi yang sah,” tegas Ongkili.

Beliau berkata hak imigresen Sabah telah dikurangkan selepas penubuhan persekutuan Labuan oleh Kerajaan Berjaya pada tahun 1984, dan peraturan Imigresen membenarkan kemasukan individu antara Semenanjung dan Sabah, melalui Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.

“Bagaimanapun, semasa mesyuarat itu, Jabatan Imigresen berkata mereka bersedia untuk mengkaji dan bertindak atas keputusan Kerajaan Sabah berhubung perkara itu,” katanya.

Ongkili berkata Majlis Khas mengenai MA63 (MKMA63), yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membantu dalam membuat keputusan, sekiranya Kerajaan Sabah membawa perkara itu pada mesyuarat yang dijadualkan berlangsung pada bulan hadapan.

Dalam kes hak Imigresen Sarawak, ia adalah satu daripada empat hak MA63 yang diisytiharkan sebagai tidak boleh dirunding dan negeri mempunyai kuasa dan kawalan yang penuh.

Turut hadir adalah Pengarah Jabatan Imigresen Sabah Sh. Sitti Saleha Habib Yussof, pemangku Pengarah Jabatan Imigresen Labuan Norlela Jumat, dan Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Philip Yaditing. – Sabah360online

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top