Imigresen Labuan pergiat usaha banteras pendatang tanpa izin

Imigresen-Labuan.jpg
Kongsi Bersama

LABUAN: Jabatan Imigresen Labuan sedang mempergiatkan usaha membanteras pendatang asing tanpa izin di Wilayah Persekutuan itu yang diiktiraf sebagai pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa negara.

Pengarahnya, Raymond Entalai mengesahkan komitmen agensi penguatkuasaan itu dan mendedahkan dua operasi telah dijalankan pada bulan ini, sehingga membawa kepada penahanan 12 pendatang tanpa izin.

Beliau berkata dalam operasi pertama yang dijalankan pada 13 Feb, tujuh individu berusia lingkungan empat hingga 37 tahun ditahan.

Dalam operasi terbaru pada 20 Feb, pihaknya menahan lima pendatang haram dari Filipina dan Indonesia, berusia antara 28 dan 53 tahun, kata Raymond.

“Operasi itu menyasarkan kawasan yang menjadi tumpuan pendatang tanpa izin termasuk kawasan pembinaan, tempat hiburan dan kediaman,” katanya kepada Bernama semalam.

Raymond berkata tahanan akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Beliau menegaskan jabatan itu tidak berkompromi dengan warga asing yang memasuki dan menetap di negara ini tanpa pasport yang sah dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap majikan dan pemilik bangunan yang terlibat dengan warga asing tanpa dokumentasi yang sah.

Di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), majikan dan pemilik premis boleh didenda RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali, bagi setiap orang pekerja yang diambil, jika sabit kesalahan.

Justeru, JIM menggalakkan majikan untuk menggaji pekerja asing melalui saluran undang-undang, sambil menekankan komitmen mereka untuk memerangi kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.

Aduan berkaitan pendatang tanpa izin boleh dilaporkan di talian 087-421 296 atau melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) https://imi.spab.gov.my/eApps/system/index.do or pro_labuan@imi.gov.my. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top