IKMa Laksana 60 Program Bantu Koperasi Di Sabah

institut-koperasi-malaysia.jpg
Kongsi Bersama

TAWAU: Institut Koperasi Malaysia (IKMa) akan melaksanakan lebih 60 program di negeri ini bagi membantu koperasi meningkatkan produktiviti perniagaan mereka.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Modal Insan IKMa, Mohd Zaib Mat Yunus berkata program itu akan meningkatkan lagi ilmu pengetahuan ahli lembaga koperasi yang ada di negeri ini termasuk di Tawau.

“Selain itu, IKMa turut menyediakan program bimbingan selama enam hingga 12 bulan bagi membantu dari segi pengurusan dan aktiviti perniagaan koperasi.

“Kita jangkakan dapat membantu lebih 196 koperasi di daerah Tawau dalam program yang bakal dilaksanakan pada tahun ini,” katanya.

Utusan Borneo melaporkan Mohd Zaib berkata demikian ketika ditemui dalam Program Turun Padang Ke Arah Memasyarakatkan Koperasi (MASKOP) 2022, di sini semalam.

Menurutnya, program MasKop yang dijalankan ketika ini akan dilaksanakan di seluruh negara dan 30 lokasi sudah ditetapkan pada tahun 2022.

“MasKop ini dilakukan supaya IKMa lebih dekat dengan koperasi, selain ingin menyampaikan perkhidmatan dan program yang bakal dilaksanakan tahun ini.

Mohd Zaib

“IKMa akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam memberikan bimbingan dan latihan kepada koperasi yang ada di seluruh negara,” katanya.

Katanya, sebanyak 60 peratus koperasi di seluruh negara mengalami masalah perniagaan mereka dan tidak aktif terutamanya sejak berlakunya penularan wabak COVID-19.

“Kebanyakan koperasi bermasalah kerana gagal menyiapkan akaun mereka dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh SKM, selain sukar melaksanakan mesyuarat agung.

“Justeru, kita akan cuba membantu mengaktifkan kembali koperasi berkenaan dengan memberikan ilmu dan latihan supaya masalah itu dapat diatasi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zaib mengumumkan akan membuka cawangan IKMa di Tawau agar dapat memberikan perkhidmatan kepada koperasi di daerah ini.

“Kita akan susun program di daerah ini supaya dapat mengangkat koperasi daripada kluster kecil kepada sederhana dan besar.

“IKMa akan cuba membantu koperasi tidak aktif dengan menyediakan model perniagaan yang melibatkan kerjasama dengan industri supaya perniagaan mereka dapat bertahan dan mendapat sokongan SKM” katanya.

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top