Ikan Yu Yang Dijual Di Pasaraya Di Sabah Bukan Spesies Terancam

ikan-yu.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Perikanan mengesahkan bahawa ikan yu yang dijual di sebuah pasaraya di Kolombong tidak tersenarai sebagai spesies terancam.

Di dalam sebuah kenyataan pada Selasa, menterinya Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan berkata berdasarkan kepada gambar yang telah viral di media sosial itu, jenis ikan yang dapat dicam adalah yu sirip hitam Carcharhinus sorrah dan yu muncung panjang C. brevipinna.

“Ini merupakan jenis yu hasil tangkapan nelayan di Sabah. Kedua-dua spesies tidak disenaraikan sebagai spesies terancam sama ada di bawah Akta Perikanan 1985 (Akta 317) mahupun Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686).

“Ini bermakna aktiviti seperti menangkap dan menjual spesies berkenaan adalah tidak salah di sisi undang-undang,” katanya.

Terdapat lebih daripadan 150 spesies ikan yu dan pari di Malaysia. Hanya 12 spesies disenaraikan di bawah Akta 317 manakala 64 spesies yang tersenarai di bawah Akta 686.

Antara spesies ikan yu yang disenaraikan di bawah kedua-dua akta berkenaan adalah seperti yu paus dan yu tanduk (hammerhead shark) manakala bagi pari pula ialah seperti yu gergaji (sawfish) dan pari manta.

Bagi spesies di bawah Akta 317, eksploitasi seperti menangkap, memiliki, mengangkut, menjual, mengeksport, dan lain-lain adalah tidak dibenarkan dan jika disabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi spesies yang disenaraikan di bawah Akta 686, eksploitasinya hanya dihadkan di peringkat domestik sahaja (kecuali jika ianya disenaraikan juga di bawah Akta 317).

Dari segi kawalan perdagangan antarabangsa, Sabah tidak membenarkan eksport walaupun ke Semenanjung Malaysia, Sarawak atau Wilayah Persekutuan Labuan.

Sebarang kesalahan di bawah akta ini boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

“Jabatan Perikanan Sabah melalui Unit Penguatkuasaannya akan terus melaksanakan pemeriksaan di pintu keluar masuk utama, rondaan ke atas operasi penangkapan ikan dan pemantauan di pasar-pasar ikan serta pasaraya secara berterusan.

“Ini bagi memastikan sumber ikan termasuklah ikan yu dan pari dapat diurus secara cekap,” katanya.-pr/BNN

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top