KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan (Sabah) (IDS), dengan kerjasama Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS), akan melancarkan Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda, satu inisiatif penting bagi menyokong golongan wanita muda dalam bidang keusahawanan.
Majlis pelancaran akan berlangsung pada Khamis, 27 Februari 2025, bertempat di Dewan Kinabatangan 3, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.
Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, dalam satu kenyataan kelmarin, menyatakan bahawa program ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri untuk memperkasakan penyertaan wanita muda dalam bidang keusahawanan dengan menyediakan akses yang lebih baik kepada modal serta bimbingan perniagaan.
“Wanita muda di Sabah sering menghadapi cabaran besar seperti kekurangan akses kepada modal, teknologi, pasaran, dan rangkaian sokongan. Program ini menawarkan skim pembiayaan mikro dengan kadar faedah yang kompetitif, hanya 1.6% setahun, menjadikannya lebih menarik berbanding skim pembiayaan lain.
“Selain itu, peserta akan menerima latihan keusahawanan, bimbingan perniagaan, serta panduan strategi pemasaran bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan,” katanya.
Menurut beliau inisiatif ini selaras dengan Belanjawan Negeri Sabah 2025, yang menyediakan insentif kewangan dan bantuan modal kepada usahawan wanita muda.
“Matlamat utama adalah untuk memastikan perniagaan yang dimiliki wanita muda menjadi lebih berdaya tahan dan berdaya saing di pasaran,” tambahnya.
Dana pembiayaan ini akan dikendalikan secara bersama oleh IDS dan PPS. Pelaksanaan program ini akan memberi tumpuan kepada keberkesanan serta memastikan impaknya dapat dimaksimumkan, khususnya dalam memperkasakan usahawan wanita muda di Sabah.
Program ini dijangka menarik penyertaan seramai 300 peserta, termasuk wakil daripada persatuan perniagaan, usahawan wanita muda, ketua jabatan, serta pelajar kolej dan universiti.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Penyelaras Program, Puan Anita Limjoon, melalui emel di anita.limjoon@ids.org.my atau hubungi 088-450500.