Idris Sahkan Jumpa Anwar, Sesi Perkenalan dan Minum Malam

Idris-DSAI.jpg
Kongsi Bersama

MELAKA: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron mengesahkan pernah bertemu Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Ia susulan sekeping gambar yang tular di media sosial menunjukkan beliau bersama tiga lagi bekas ADUN yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Isnin lalu, bertemu Ketua Pembangkang itu.

Mereka adalah Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu).

Turut hadir pada pertemuan dipercayai diadakan di sebuah hotel di Kota Laksamana, di sini, dua hari lalu itu ialah Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari.

“Itu adalah pertemuan biasa PH, memperkenalkan empat ADUN yang sudah merubah kerajaan. (Kami) minum malam, itu saja.

“Pertemuan itu tidak membincangkan hal mengenai tawaran menyertai PKR, tetapi lebih kepada sesi perkenalan dan berbicara hal ehwal politik semasa,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, pada perjumpaan berkenaan, Anwar menasihatkan semua empat ADUN terbabit kekal bersabar dan menyerahkan segala-galanya kepada pihak mahkamah.

Katanya, Anwar turut menyatakan perjuangan yang dilakukan itu lebih kepada usaha menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran, selain memperjuangkan keadilan sejagat.

“Saya memang pegang kepada prinsip itu, bahkan ketika dalam UMNO dulu pun saya berpegang kepada prinsip kesaksamaan sejagat. Prinsip itu sama, cuma mungkin kaedah metadologi itu lain sikit,” katanya.

Semalam, Idris mendedahkan pernah dihubungi dua presiden parti dalam gabungan PH selepas beliau bersama tiga ADUN lain bertindak menarik sokongan terhadap Sulaiman. – BH


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top