Idris Kecewa Gagal Kembali Jadi KM Melaka, Dapat Sokongan PH Tapi Tak Disokong UMNO

idris-haron.jpg
Kongsi Bersama

CYBERJAYA: Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron meluahkan rasa kecewa dan pelik apabila UMNO enggan menyokongnya kembali ke jawatan itu meskipun beliau turut mendapat sokongan Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada DAP, Amanah dan PKR.

Memetik laporan Malaysiakini, Idris turut menggambarkan tindakan membubarkan DUN Melaka pada bulan lalu menyebabkan negeri itu terlepas peluang untuk mempunyai kerajaan yang dipimpin Adun UMNO dan pada masa sama disokong pembangkang.

Menurut Idris lagi, UMNO sepatutnya bangga apabila parti pembangkang seperti DAP, Amanah dan PKR bersetuju menjadikan dirinya sebagai ketua mereka di Melaka.

“Sepatutnya saya – yang mendapat sokongan daripada DAP, PKR dan Amanah – boleh menjadi kebanggaan kepada UMNO apabila seorang pemimpin parti itu disokong oleh wakil parti-parti yang berbeza ideologi politik dan boleh menjadi pemimpin mereka.

“Tapi tiba-tiba UMNO tergesa-gesa memecat saya, sama dengan kadar kesegeraannya untuk membubarkan DUN.

“Kemudian sesudah bubar DUN, buat-buat tak tahu pula… (padahal) mestilah ada pilihan raya,” kata Idris, yang kini menjadi calon PH bagi kerusi DUN Asahan.

Idris menegaskan tindakan dia bersama tiga lagi Adun lain (dua Adun UMNO, seorang Bersatu dan seorang Bebas) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali awal pada bulan lalu tidak sepatutnya berakhir dengan Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Itulah kemuncak kepada keharmonian politik di negara ini – apabila pembangkang bersetuju orang UMNO jadi ketua.

“Tapi yang peliknya UMNO pusat, UMNO negeri tak setuju pembangkang menyokong orang Umno menjadi ketua. Cepat-cepat dia (Umno) pecat saya kerana tak nak saya pakai label UMNO apabila disokong oleh DAP, PKR dan Amanah,” katanya.

Memetik laporan sama, terdapat satu salinan surat PH kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam sebelum DUN Melaka dibubarkan dan kini tular di media sosial, yang mengesyorkan supaya Idris dilantik sebagai KM Melaka dengan sokongan pakatan itu.

Bagaimanapun selepas DUN Melaka dibubarkan dan PRN dilaksanakan, PH membuat keputusan mencalonkan pemimpin Amanah, Adly Zahari yang juga bekas KM Melaka untuk kembali menjawat jawatan itu jika PH menang PRN ini. – Suara TV

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top