LAHAD DATU : Seorang ibu tunggal didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, kelmarin selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengemukakan maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), lapan tahun lalu.
Ensanah Likob, 59, yang juga seorang suri rumah membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ryan Segaran.
Mengikut pertuduhan, Ensanah didakwa mengemukakan maklumat palsu sebagai penganjur kepada permohonan kad pengenalan kali pertama (12 tahun) seorang kanak-kanak lelaki di Jabatan Pendaftaran Negara Daerah Kunak, pada 5 Februari 2014.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25 (1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM 20,000.00 atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela dalam rayuannya memohon hukuman diringankan dengan alasan tidak bekerja, ditinggalkan suami (ibu tunggal) selain ditanggung oleh anak bersama tiga cucu.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa JPN Sabah, Nurul Fariza Abdullah menegaskan perbuatan memberikan maklumat palsu dengan menganjurkan seorang individu yang bukan warganegara bagi mendapatkan suatu identiti iaitu kad pengenalan berstatus warganegara adalah satu kesalahan berat dan amat serius.
Menurutnya, perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan kepentingan awam dan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Mahkamah kemudiannya turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua tahun sekiranya gagal menjelaskan denda.
Tertuduh bagaimanapun membayar denda berkenaan. – HMetro