Ibu tunggal beri maklumat palsu kepada JPN dipenjara, didenda

maklumat-palsu.jpg

Harisa Arif @ Rippe (dua, kiri) dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM4,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengemukakan maklumat palsu ketika membuat permohonan kad pengenalan, pada 2022.

Kongsi Bersama

BELURAN: Seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengemukakan maklumat palsu ketika membuat permohonan kad pengenalan, pada 2022.

Tertuduh, Harisa Arif @ Rippe, 41 didakwa mengemukakan maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ketika membuat permohonan kad pengenalan untuk seorang lelaki bukan anak kandungnya, dipercayai pendatang tanpa izin.

Majistret Nur Faezah Jafry menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh dan memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini dan tambahan hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Harisa didakwa melakukan kesalahan itu di JPN Daerah Beluran pada jam 9.31 pagi, 3 November 2022.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25 (1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa JPN Sabah, Mohd Naser Mohd Nadzeri memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal berbentuk pencegahan dengan mengambil kira kepentingan awam dan keadilan sosial.

“Mohon hukuman setimpal bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai isu dokumen pengenalan yang merupakan isu yang sangat serius dan sensitif serta melibatkan kedaulatan negara,” katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman dikurangkan selain memohon agar dia dipenjarakan kerana tidak mampu membayar denda susulan tidak mempunyai pekerjaan. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top