Ibu Bapa Berperanan Penting Pastikan Bahasa KDMR Tidak Luntur

maximus.jpg
Kongsi Bersama

KOTA MARUDU: Ibu bapa memainkan peranan penting dalam usaha memperkasakan penggunaan bahasa KadazanDusun, Murut dan Rungus (KDMR), terutama dalam institusi keluarga mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, penguasaan bahasa KDMR kini semakin lemah, terutamanya di kalangan generasi muda.

“Oleh itu, penguasaan bahasa KDMR ini perlu dimulakan dari rumah, dimana ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak mereka bertutur dalam bahasa tersebut.

“Dengan cara ini, bahasa KDMR tidak akan pupus dan terus ditutur oleh generasi muda,” katanya ketika merasmikan bangunan Galeri Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Pekan Tandek, di sini, pada Sabtu.

Dr. Maximus yang juga Ahli Parlimen P.168 Kota Marudu menambah, sejajar dengan usaha dalam memartabatkan bahasa KDMR di kalangan generasi muda, KDCA Daerah Kota Marudu akan membuka kelas pembelajaran bahasa tersebut di daerah ini.

“Usaha ini juga penting dalam mendidik anak-anak muda untuk mendalami penggunaan bahasa KDMR melalui pembelajaran formal.

“Bahasa Dusun Liwan – Tangara akan menjadi modul pembelajaran utama dan akan diikuti dengan bahasa suku kaum lain yang terdapat di daerah ini seperti Dusun Tobilung, Kimaragang dan Rungus,” kata beliau.

Dalam hal sama, Dr. Maximus yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras KDCA Kota Marudu berkata, bangunan Galeri KDCA Pekan Tandek merupakan usaha KDCA Kota Marudu untuk mewujudkan peluang perniagaan kepada ahli-ahli mereka daerah ini.

“Bangunan kedai enam pintu ini bukan sahaja bertujuan untuk mempamerkan tradisi dan budaya KDMR di daerah ini, tetapi juga membuka peluang perniagaan kepada ahli-ahli KDCA,” jelas Dr. Maximus.

Tambah beliau, pemilihan penyewa setiap unit kedai akan dibuat berdasarkan cabutan undian.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pegawai Daerah Kota Marudu, Alexander Yong, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras KDCA Matunggong, Ribin Torutuk dan Setiausaha Sulit kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Julita Dalinsi. – Warta Oriental


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top