Ibarat Sirih Pulang Ke Gagang; Salleh Mampu Lonjakkan Usukan

ssk1.jpg
Kongsi Bersama

MESKIPUN lama menghilang kerana tidak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak 2004, pengaruh Datuk Seri Salleh Tun Said sebagai tokoh politik Sabah masih kekal kuat khususnya di Kota Belud.

Siapa yang tidak mengenali beliau, seorang anak bekas Ketua Menteri dan Yang Dipertua Negeri Sabah yang kemudiannya turut mengikut jejak ayahnya menjadi Ketua Menteri Sabah Kesembilan.

Beliau juga pernah menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia selain Speaker DUN Sabah serta jawatan dalam parti, termasuk Bendahari UMNO, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah dan Ketua UMNO Kota Belud.

Tidak hairanlah kemunculan beliau selepas dicalonkan Barisan Nasional (BN) di kerusi DUN Usukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 mendapat perhatian ramai pemerhati politik.

Ada yang berpendapat pencalonannya itu sebagai satu usaha membawa beliau masuk semula ke dalam kerajaan negeri kerana beliau mempunyai pengalaman yang besar terutama ketika mengetuai kerajaan negeri selama dua tahun dari 1994 hingga 1996.

Jika gabungan BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) atau disebut Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya membentuk kerajaan selepas PRN pada 26 September ini, Salleh kemungkinan besar akan dilantik sebagai menteri dalam Kabinet negeri.

Namun, persoalannya adakah rakyat Usukan mahu menerima kembali Salleh untuk menjadi wakil rakyat mereka selepas tiga penggal meninggalkan kerusi itu selain melihat kekalahannya di Parlimen Kota Belud pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018?

Salleh perlu memenangi semula hati pengundi kawasan berkenaan yang selama tiga penggal lalu mengundi Datuk Japlin Akim sebagai wakil rakyat mereka sehingga DUN dibubarkan pada 30 Julai lalu.

Japlin terpaksa beralah untuk memberi laluan kepada Salleh walaupun beliau adalah Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kota Belud berbanding Salleh yang baru saja memohon menyertai semula UMNO selepas keluar dari parti itu pada 2018.

Ada juga khabar angin mengatakan kehadiran Salleh di kerusi itu kurang disenangi pemimpin UMNO lain di Kota Belud, namun apapun keadaannya, semua pemimpin dan ahli UMNO serta parti gabungan lain di bawah GRS khususnya BERSATU perlu bekerjasama memenangkan beliau.

Selain ketokohan dan pengalamannya, kekuatan Salleh untuk kembali memenangi kerusi DUN Usukan juga bergantung kepada sokongan padu pemimpin UMNO dan BERSATU serta pengundi keseluruhannya.

Namun, yang pastinya Salleh tetap mempunyai peluang yang lebih cerah untuk memenangi kerusi berkenaan berbanding dua pencabarnya iaitu calon Parti Cinta Sabah (PCS) Datu Mohd Nazaruddin Datu Tigabelas dan calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) Abdul Bakhrin Mohd Yusof.

Di atas kertas, dua lawannya kelihatan bukan tandingan bagi Salleh kerana kedua-duanya adalah muka baharu berbanding beliau yang sudah lebih 30 tahun berkecimpung dalam bidang politik.

Cuma, apa saja boleh terjadi, sama seperti ketika PRU 2018, beliau kalah di tangan anak muda muka baharu wanita apabila calon WARISAN pada ketika itu, Isnariasah Munirah Majilis memperolehi 23,429 undi berbanding 19,167 undi diperolehi Salleh.

Bagaimanapun, Salleh kali ini memiliki kelebihan berdasarkan kedudukan kerusi DUN Usukan pada PRU 2018 yang menyaksikan BN masih mengekalkan kerusi itu dan Tempasuk selain Kadamaian meskipun kalah di kerusi Parlimen.

Pada PRU 2018, kerusi DUN Usukan menyaksikan penyandangnya, Datuk Japlin Akim menang dengan majoriti 1,225 undi selepas memperolehi 8,738 undi berbanding lawan terdekatnya dari WARISAN Abdul Bakhrin Mohd Yusof yang memperolehi 7,513 undi.

Salleh bagaimanapun perlu mengambil berat sokongan terhadap calon WARISAN memandangkan Abdul Bakhrin atau lebih mesra dipanggil Cikgu Bakhrin bertanding semula pada PRN kali ini dan tentunya beliau mahu menebus kekalahan pada PRU lalu.

Cikgu Bakhrin juga bukan asing kepada penduduk Usukan kerana beliau adalah bekas Pegawai Pendidikan Kota Belud dan memang berasal dari kawasan berkenaan, begitu juga dengan calon PCS Datu Nazaruddin juga anak jati kawasan berkenaan.

Jadi ketiga-tiga calon di Usukan pada kali ini adalah ‘sekampung’, yang membezakan mungkin cumalah pendekatan, pemikiran dan pengalaman masing-masing dalam menarik sokongan rakyat.

Salleh adalah seorang pemikir, beliau banyak menulis untuk menyatakan pendapat beliau berhubung sesuatu isu dan berdasarkan latar belakang itu, pandangannya mungkin lebih ke depan tidak terhad kepada Usukan semata-mata.

Walaupun beliau bertanding di Usukan, jiwanya mungkin lebih melihat soal Sabah keseluruhannya, aspek pembangunan keseluruhan, isu ekonomi negeri dan hubungan antara negeri dan Pusat.

Bagaimanapun, dalam satu temuramah dengan media nasional baru-baru ini, beliau menyatakan tetap memberi perhatian kepada Usukan dalam kempennya untuk meraih sokongan pengundi pada 26 September ini.

Jelasnya, Usukan masih memerlukan kemudahan infrastruktur terutama capaian internet untuk meningkatkan aktiviti ekonomi dan menyifatkan inisiatif kerajaan Pusat melaksanakan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bakal memberi manfaat besar kepada rakyat Sabah.

Salleh juga dikenali dengan keramahannya, satu lagi kelebihan beliau yang membuatkannya disenangi rakyat Usukan dan Kota Belud serta sesiapa saja yang pernah bersemuka dengan beliau.

Memandangkan beliau sudah lama meninggalkan kerusi berkenaan, kehadirannya kali ini pasti membawa sinar baharu di Usukan selain menggilap semula apa yang pernah dilakukan beliau dahulu bagi menonjolkan Usukan sebagai kawasan DUN yang hebat di Sabah.

Penduduk Usukan juga tentunya mahu melihat apa yang bakal dibawa beliau kali ini untuk menambah baik kehidupan rakyat di kawasan berkenaan.

Semua itu pastinya dijadikan ukuran kepada pengundi untuk membuat pilihan siapa yang mereka berikan undi pada 26 September ini dan tentunya Salleh berada dalam hati pengudi Usukan jika mereka benar-benar mahu beliau kembali di kerusi berkenaan.

 

Oleh: Jaafar Abd Wahid

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top