PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno berkata tidak mustahil DAP akan sanggup bekerjasama dengan ahli Parlimen partinya dalam rancangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bentuk kerajaan baharu, kerana DAP pernah bekerjasama dengan parti atau orang yang dikutuknya.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, menyenaraikan parti-parti itu, seperti PAS dan PPBM, dan ahli politik, antaranya Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar.
“Yang belum lagi Umno,” katanya.
“Tidak mustahil gajah boleh terbang. Syaratnya naik kapal terbang,” tambahnya.
Shabery mengulas laporan FMT yang melaporkan penganalisis tidak menolak kemungkinan DAP akan mengabaikan rungutan lama dan bekerjasama dengan wakil rakyat Umno, dan menjayakan rancangan Anwar.
“Dah mulai rasa kuasa memang nak rasa lagi. Macam Raja Bersiong,” kata Shabery, merujuk kepada watak seorang raja yang ketagihan dalam lagenda masyarakat Melayu.
Terdahulu, Anwar, mendakwa mendapat “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baru.
Beliau mengumumkan akan menghadap Agong pada Selasa.