Ia Adalah Keputusan Peribadi, Demi Pembangungan DUN Kukusan – Rina

rina.jpg

Rina Jainal berkata, beliau terpaksa membuat pertimbangan sukar dengan meninggalkan Warisan demi mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Haji Jainal berkata, langkah beliau meninggalkan Parti Warisan Sabah (Warisan) adalah keputusan peribadinya demi pembangunan kawasan yang diwakilinya.

Beliau berharap, tindakannya itu akan mendapat maklum balas positif walaupun menyedari ada pihak yang tidak bersetuju dan menerimanya.

“Apa pun, ini keputusan peribadi saya. Saya memutuskan untuk menyertai Harapan Rakyat kerana saya percaya kita boleh membawa lebih banyak pembangunan ke Tawau. Parti itu fokus dan bekerja untuk rakyat di Tawau,” katanya pada sidang media yang diadakan di Hotel Hilton, di sini, petang semalam.

ADUN Kukusan itu yang turut melepaskan semua jawatannya dalam Warisan berkata, beliau meninggalkan Warisan dengan berat hati kerana telah bersama parti itu selama lima tahun bermula dari peringkat akar umbi sehingga ke Dewan Undangan Negeri.

Rina menyerahkan borang permohonan untuk menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) kepada presiden parti itu, Tan Sri Liew Yun Fah selepas sidang media itu.

Harapan Rakyat adalah parti pro Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) yang telah memohon untuk menyertai GRS.

Ditanya mengapa dia memilih Harapan Rakyat memandangkan parti itu bukan dalam kerajaan dan tidak dianggap sebagai antara pemain utama dalam arena politik negeri ini, Rina berkata, selepas pertemuan dan perbincangannya dengan Liew, mereka sependapat Harapan Rakyat adalah parti yang boleh menentukan nasib rakyat di Tawau khususnya di kawasan beliau, Kukusan.

“Saya memilih Harapan Rakyat kerana parti ini fokus bekerja dan berkhidmat kepada masyarakat di Tawau. Komitmen ini memberi inspirasi kepada saya untuk bekerja lebih keras untuk kawasan saya. Saya tidak perlu memikirkan tentang politik, soal rampas kuasa dan semua itu sekarang. Saya hanya mahu memberi tumpuan kepada berkhidmat kepada rakyat dan saya tahu Harapan Rakyat boleh memberi saya satu rangsangan untuk membantu rakyat di kawasan saya,” katanya.

Rina berkata, perjuangannya masih seiring dengan Warisan yang memperjuangkan rakyat, tetapi “Harapan Rakyat lebih tertumpu kepada kawasan saya dan ini bermakna saya juga boleh lebih fokus di kawasan itu.

“Awak boleh tanya saya lagi dalam masa tiga bulan dari sekarang. Tidak ada gunanya saya bercakap terlalu banyak sekarang kerana orang masih akan membuat spekulasi sendiri. Apa yang saya mahu lakukan sekarang ialah bekerja,” katanya.

Rina memenangi kerusi itu selepas memperoleh 2,834 undi, dengan majoriti 10 undi, menewaskan pesaing terdekatnya Chaya Sulaiman daripada BN, pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16).

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top