Hukuman Penjara 1,050 Tahun Tak Logik, Kata Hakim

tukul-mahkamah.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi yang mendengar rayuan seorang lelaki berkaitan hukuman kerana tuduhan sumbang mahram terhadap anak tirinya semalam, memutuskan bahawa tidak logik untuk menjatuhi tempoh penjara yang melampaui jangka hayat biasa rakyat Malaysia.

Ketika memerintahkan hukuman penjara 1,050 tahun itu dikurangkan kepada 42 tahun, Hakim Azmi Abdullah berkata keputusannya berpandukan penghakiman Mahkamah Rayuan pada 2009 yang menyatakan tempoh penjara mesti munasabah dan mengambil kira jangka hayat seorang tertuduh atau perayu.

Menurut penghakiman itu, jangka hayat lelaki Malaysia adalah 70 tahun, dan 75 bagi wanita, namun kedua-duanya dijangka mampu hidup lebih lama di masa akan datang.

Sementara itu, Azmi berkata satu lagi kes duluan menyatakan mahkamah tidak boleh mengelak daripada mengenakan hukuman berat sejajar dengan keseriusan kesalahan terlibat.

Menurutnya, dalam kes perayu di depannya, Mahkamah Sesyen dilihat tidak mempertimbangkan latar belakang lelaki itu ketika menjatuhi hukuman.

Katanya, tempoh hukuman penjara selama 1,050 tahun terhadap lelaki yang kini berusia 34 tahun itu nyata tidak logik kerana sudah tentu dia tidak akan hidup sehingga usia itu.

Azmi berkata, tempoh hukuman dikenakan Mahkamah Sesyen itu berdasarkan emosi dan keterlaluan.

“Ramai orang tidak mampu hidup sehingga usia 100 tahun,” katanya dalam alasan penghakiman.

Beliau bagaimanapun mengekalkan 24 sebatan terhadap perayu, iaitu jumlah maksimum dibenarkan mengikut undang-undang.

Azmi berkata, beliau juga sedar bahawa kesalahan rogol membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.

Perayu yang tidak diwakili peguam ketika perbicaraan di Mahkamah Sesyen, telah mengaku melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Sungai Way, Selangor, dari 5 Januari 2018 hingga 24 Februari 2020.

Dia dituduh merogol mangsa – yang berusia 12 tahun pada 2018 – sebanyak 50 kali pada 2018, 32 kali pada 2019, dan 23 kali pada 2020 seterusnya sebanyak 105 tuduhan dikemukakan terhadapnya.

Mahkamah Sesyen dalam keputusannya pada 27 Januari 2021 memerintahkan hukuman penjara 1,050 tahun itu bermula dari tarikh tangkap perayu pada 20 Januari tahun lalu.

Susulan keputusan semalam, perayu berkemungkinan dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara 28 tahun jika diambil kira penolakan satu pertiga tempohnya kerana berkelakuan baik.

Bagaimanapun, perayu yang diwakili peguam K A Ramu dan V Vemal Arasan itu telah memfailkan rayuan akhir ke Mahkamah Rayuan untuk mengurangkan lagi tempoh hukumannya. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top