Hukuman kembiri bagi pesalah seks kanak-kanak di Louisiana

tukul-mahkamah.jpg

Gambar hiasan

Kongsi Bersama

LOUISIANA: Pesalah yang melakukan jenayah seks terhadap kanak-kanak di sini boleh boleh dikenakan hukuman pengembirian secara pembedahan di bawah undang-undang yang diluluskan oleh penggubal undang-undang negeri itu.

Langkah itu adalah yang pertama seumpamanya di Amerika Syarikat (AS) jika Gabenor menandatangani rang undang-undang (RUU) yang diluluskan kelmarin itu, sekali gus membolehkan pelaksanaannya.

Di bawah RUU diluluskan badan perundangan negeri itu, hakim akan dibenarkan memerintahkan hukuman pengembirian secara pembedahan bagi pesalah yang disabit jenayah seks seperti merogol kanak-kanak bawah umur 13 tahun.

RUU itu akan dibawa kepada Gabenor Jeff Landry untuk ditandatangani, menjadikannya sah sebagai satu undang-undang.

Pejabat Landry tidak memberi penjelasan segera apabila ditanya sama ada Landry berhasrat untuk menandatangani RUU itu.

Sebahagian negeri di AS termasuk Louisiana, California dan Texas sudah pun mempunyai undang-undang yang memberi kuasa kepada hakim untuk mengarahkan pengembirian kimia membabitkan beberapa kes.

Dalam sesetengah kes, hakim boleh menjatuhkan hukuman lebih ringan iaitu pengambilan ubat penyekat hormon, sekali gus merendanhkan rangsangan seks.

Menurut Persatuan Kebangsaan bagi Undang-Undang Kesalahan Seksual Rasional (NARSOL) iaitu sebuah kumpulan advokasi yang menentang RUU itu, Louisiana bakal menjadi negeri pertama membenarkan hakim mengenakan pengembirian secara pembedahan sebagai penalti.

Jurucakap NARSOL, Sandy Rozek, menyifatkan pengembirian secara pembedahan sebagai hukuman tidak berkesan, paling teruk dan kejam.

RUU itu memerlukan pengesahan daripada pakar perubatan yang dilantik oleh mahkamah bagi menentukan defendan adalah calon sesuai untuk pembedahan itu, sebelum hakim boleh memerintah prosedur terbabit dilaksanakan.

Pihak penentang berpendapat hukuman itu kejam sebab pengembirian secara pembedahan tidak sama seperti pengembirian kimia kerana prosedur sedemikian tidak dapat dipulihkan.

Walaupun undang-undang itu memperoleh sebahagian besar sokongan daripada parti Republikan yang mendominasi badan perundangan Louisiana, ia diperkenalkan oleh Senator Regina Barrow, seorang anggota parti Demokrat.

“Saya mahu memastikan anak-anak kita selamat,” katanya pada perbicaraan bulan lalu. – REUTERS

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top