Hujan dicerap selepas OPA di tiga kawasan sasaran di Sabah

hujan.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Terdapat hujan dicerap oleh radar cuaca selepas operasi pembenihan awan (OPA) dilaksanakan selama tiga hari di tiga kawasan sasaran termasuk Papar, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Mohd Fuad Abdullah.

Beliau berkata Imej Gema Radar pada 28 hingga 30 Mac menunjukkan purata curahan hujan adalah antara lima hingga 10 mm/h selepas OPA dilaksanakan di tiga kawasan sasaran iaitu Papar, Lahad Datu dan Tawau.

Mohd Fuad berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) melaporkan pelaksanaan OPA pada 30 Mac hanya merangkumi Lahad Datu dan Tawau, manakala operasi di Papar tidak dapat dijalankan kerana tidak mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk terbang di kawasan itu.

“Berdasarkan kepada bacaan tolok hujan didapati hujan sederhana lebat telah direkodkan di kawasan sasaran pada 28 Mac, manakala hujan renyai telah direkodkan pada 29 Mac dan tiada hujan direkodkan pada 30 Mac di kawasan sasaran.

“Bagaimanapun, Imej Gema Radar menunjukkan terdapat hujan dicerap selepas OPA dilaksanakan pada ketiga-tiga hari di kawasan disasarkan dengan purata curahan antara 5-10 mm/h,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Mohd Fuad turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah yang telah bekerjasama dengan agensi-agensi Persekutuan dalam melaksanakan OPA.

Operasi bertujuan meningkatkan paras air sungai bagi menampung keperluan domestik itu turut melibatkan agensi lain termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Bahagian Bekalan Air Wilayah Persekutuan Labuan dan METMalaysia, katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Fuad berkata air di Loji Rawatan Air Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) di Limbahau, Papar tidak dapat dirawat susulan bacaan tahap kemasinan agak tinggi dengan jumlah 3,038mg/l direkodkan oleh Jabatan Air daerah setakat pukul 3 petang semalam.

Pada 13 Mac lepas, Mohd Fuad yang juga Pegawai Daerah Papar mengisytiharkan daerah itu sebagai kawasan bencana kemarau susulan krisis bekalan air akibat kemarau melanda kawasan terbabit. – BERNAMA

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top