Hujan, Banjir Punca Laluan Kereta Api Tenom-Pangi Dan Rayoh Tergendala – Bung Moktar

Bung-troli-tenom.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abd Wahid

KOTA KINABALU:  Perkhidmatan kereta api bagi laluan Tenom-Pangi dan Rayoh  ditutup buat sementara waktu kerana kerosakan teruk pada landasan akibat banjir berikutan hujan lebat melanda  kawasan itu pada  20-23 Mei lepas.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika ditemui berkata  operasi perkhidmatan bagi laluan berkenaan akan mengambil masa untuk dipulihkan.

Katanya beberapa kerosakan besar  ditemui antara landasan, dan batu di landasan dihanyutkan banjir, tanah dan tebing runtuh di KM 114 Rayoh serta KM124 dan KM130 Pangi

“Kerja-kerja  kecemasan bagi membaiki landasan tersebut sedang berjalan dan dijangkakan siap dalam tempoh 2 bulan, bagaimanapun kita berharap kontrator  pelaksana akan dapat membuat kerja memindahkan (realigment) landasan sementara dengan segera agar perkhidmatan seperti biasa dapat diadakan,”katanya.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata demikian sebagai mengulas rungutan penduduk khususnya di Pangi  yang tular di media sosial, yang terpaksa menggunakan  “motosikal troli atau “troli haram” sebagai kenderaan mereka untuk keluar ke pekan Tenom membeli keperluan  atau mengeluarkan hasil tanaman mereka untuk dipasarkan.

Menurut Bung bagi mengatasi masalah ini, Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) telah menyediakan troli pemeriksaan atau “inspection trolley” (IT), sebuah di Rayoh dan sebuah lagi di Pangi bagi menggantikan  perkhidmatan kereta api penumpang.

“Hanya troli pemeriksaan sahaja yang boleh melalui kawasan landasan yang rosak  dari tempat asal ke KM135 sebelum menaiki DMU  dari KM135 hingga ke Tenom,” jelas Bung.

Tambah Bung  troli pemeriksaan itu hanya boleh dinaiki dengan kapasiti 6 hingga 8 orang penumpang  sahaja dan ia bersedia sebagai pengangkutan penduduk bagi kes-kes kecemasan sepanjang 24 jam  dan orang ramai khususnya di kawasan terlibat  boleh berhubung dengan JKNS di kawasan berkenaan sekiranya berlaku kecemasan.

“JKNS sedang berusaha untuk menambah bilangan troli pemeriksaan di kawasan terjejas dan ianya beroperasi mengikut jadual perkhidmatan sedia kala kereta api Rayoh-Tenom dengan mematuhi SOP yang ditetapkan,”tambah beliau.

Sehubungan itu Bung berharap penduduk yang terlibat bersabar kerana apa yang berlaku ini sukar dijangka disebabkan faktor bencana alam, bagaimanapun JKNS sedang bertungkus lumus  untuk menyelesaikan dan memperbaiki  landasan agar perkhidmatan kereta api pulih seperti sediakala.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top