Hubungan Rapat Kerajaan Negeri-Persekutuan Amat Penting – Dr. Maximus

IMG_20220121_191519.jpg
Kongsi Bersama

KOTA MARUDU: Penyaluran segera bantuan kewangan dan bantuan lain untuk mangsa banjir di sini adalah hasil hubungan rapat antara Kerajaan Sabah dan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili ketika mengulas mengenai perkara itu berkata, adalah penting untuk mengekalkan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan penderitaan rakyat didengari.

“Dalam pengurusan banjir dan bencana, Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa tertinggi, dari segi perkhidmatan dan penyaluran bantuan kewangan melalui agensi berkaitan. Di sini, bantuan tunai RM1,000 untuk setiap isi rumah disalurkan hanya dalam tempoh tiga minggu,” katanya pada program penyampaian Bantuan Wang Ihsan di Dewan Komuniti Kota Marudu, hari ini.

Sejumlah 1,161 isi rumah yang terjejas banjir baru-baru ini, dengan 332 daripadanya telah disalurkan bantuan kewangan, manakala baki 829 lagi menerima bantuan mereka hari ini.

Dr. Maximus menambah, kira-kira RM1.4 bilion telah diperuntukkan oleh Kerajaan untuk meringankan beban mangsa banjir berikutan banjir baru-baru ini di enam negeri, termasuk Sabah, yang mana satu isi rumah boleh menerima antara RM10,000 hingga RM61,000, bergantung kepada jumlah kerugian harta benda yang mereka alami.

Selain daripada bantuan tunai ihsan, Kerajaan juga menawarkan bantuan lain kepada setiap mangsa seperti baucar tunai RM500 untuk pembelian peralatan elektrik; diskaun 50 peratus untuk alat ganti kenderaan Proton dan Perodua, manakala syarikat lain menawarkan perkhidmatan tunda kereta percuma dan diskaun sekurang-kurangnya 25 peratus untuk alat ganti dan bayaran pembaikan di pusat servis berdaftar; baucar RM1,000 untuk pembaikan atau pembelian bagi menggantikan kenderaan persendirian yang mengalami kerosakan keseluruhan; bantuan tunai sehingga RM5,000 untuk membaiki rumah, dan bagi setiap mangsa yang rumahnya musnah sepenubnya Kerajaan akan membantu menampung kos sehingga RM56,000 untuk membina rumah baharu.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata, dalam kes kerajaan pimpinan pembangkang Selangor, pengalaman mereka yang kurang dalam menguruskan bencana seperti banjir dan ketiadaan hubungan kerja yang erat dengan Kerajaan Persekutuan menambahkan lagi kesukaran mengurus bencana banjir.

“Sama ada Kerajaan Negeri kukuh dari segi kewangan, tetapi tanpa pengalaman dalam menguruskan bencana, mereka masih perlu bekerjasama dengan agensi kerajaan persekutuan untuk memastikan keperluan rakyat dilindungi.

“Sebab itu pentingnya hubungan rapat antara kerajaan negeri dan persekutuan. Di Sabah, kita bertuah kerana Kerajaan Gabungan Bersatu Sabah dapat berkomunikasi dengan baik dengan Kerajaan Persekutuan, di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ongkili menegaskan bahawa Pejabat Daerah di sini telah menganggarkan kira-kira RM46 juta jumlah kerosakan akibat banjir baru-baru ini, yang mana Kerajaan telah meluluskan peruntukan RM24 juta untuk kerja-kerja pembaikan.

“Bakinya masih belum selesai dan akan diluluskan selepas pengesahan semula oleh agensi berkaitan,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top