Oleh Jaafar Abdul Wahid
TENOM: Hubungan harmoni dan kerjasama antara pelbagai kaum adalah kunci dan senjata utama untuk menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran supaya negara dapat mencapai matalamatnya.
Pengerusi Sabah Urban Development Corporation Sdn Bhd (SUDC), Jamawi Jaafar berkata,secara umumnya perasaan prasangka dan ketidakpuasan hati antara pelbagai etnik dalam sesebuah negara bukanlah suatu perkara asing tetapi ia harus ditangani secara bijak dan berhemah
“Di kebanyakan negara, persengketaan antara kaum lebih-lebih lagi berkaitan isu agama, membawa peperangan yang berlarutan, sekali gus membantut pembangunan ekonomi, sosial dan juga politik negara berkenaan” katanya ketika ditemui selepas menghadiri jamuan makan tengah hari bersama Jawatankuasa Gabungan Persatuan Komuniti Cina daerah tenom dan Ketua Ketua Masyarakat Cina Tenom Kemabong di sini kemarin.
Beliau, yang juga bekas ADUN Kemabong berkata, perpaduan kaum harus diberi perhatian kerana pemupukan hubungan etnik antara masyarakat adalah amat penting bagi negara kita yang bermasyarakat majmuk untuk menjamin kestabilan ekonomi dan politik.
“Peristiwa 13 Mei 1969, banyak mengubah kehidupan rakyat negara ini. Walaupun sesetengah pihak menganggap ia satu titik hitam dalam sejarah, namun dari sudut lain peristiwa itu satu pengajaran yang amat besar kepada negara,untuk diambil iktibar,“ katanya
Dalam pada itu beliau menambah politik sepatutnya menyatukan sebagaimana yang menjadi amalan dan budaya Barisan Nasional selama ini.
“Pemimpin politik tidak kira agama dan bangsa, perlu menginsafi dan menyedari bahawa tanggungjawab memupuk kebersamaan ialah hak bersama, bukan melaga-laga serta mendorongkan perbezaan yang memecah belahkan rakyat,” katanya
Jamawi menambah , citra Malaysia selari dengan gagasan Keluarga Malaysia mesti jelas bahawa negara berdaulat ini memiliki kepelbagaian yang perlu diraikan berdasarkan Rukun Negara yang dipersetujui bersama.
“Malaysia Baharu sepatutnya membina teladan mengukuhkan aspirasi perlembagaan kita, bukan mengadaptasi liberalisme mahupun ekstremisme untuk kepentingan sesetengah pihak,” katanya.