Hospital Tawau Seru Orang Ramai Derma Darah

derma-darah.jpg

Gambar hiasan

TAWAU: Hospital Tawau menyeru penduduk di daerah ini menderma darah untuk memastikan bekalan darah di hospital itu mencukupi, terutama menjelang Ramadan dan musim perayaan bulan hadapan.

Pengarahnya Dr Norlimah Arsad berkata, penggunaan bekalan darah dijangka meningkat sepanjang tempoh berkenaan terutama membabitkan kes pembedahan, ibu bersalin, selain kes kecemasan.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan kempen derma darah secara berkala setiap Selasa dan Khamis di beberapa lokasi strategik termasuk pusat beli-belah sekitar daerah ini.

“Orang ramai digalakkan supaya tampil menderma darah sepanjang Ramadan nanti kerana operasi Unit Tabung Darah Hospital Tawau akan dibuka seperti biasa.

“Selain itu, bagi umat Islam yang berhajat menderma darah boleh berbuat demikian selepas waktu berbuka puasa atau antara 7 malam sehingga 10 malam,” katanya ketika ditemui selepas Sambutan Hari Pembantu Perubatan 2023 Peringkat Hospital Tawau, di sini, hari ini. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top