Hospital Taiwan buang lebih 300 batu karang daripada wanita penagih ‘teh buih’

batu-karang.jpg

Lebih daripada 300 batu karang yang kelihatan seperti "roti kukus kecil" telah dikeluarkan melalui pembedahan invasif minimum. GAMBAR: CHI MEI MEDICAL CENTRE

Kongsi Bersama

Seorang wanita berusia 20 tahun di Taiwan yang ketagihan ‘teh buih’ (bubble tea) terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang lebih 300 batu karang, kata pihak Pusat Perubatan Chi Mei.

Menurut The Straits Times, yang memetik artikel di laman web hospital berkenaan bertarikh 8 Disember, wanita yang hanya dikenali oleh sebagai Xiao-yu itu, telah dimasukkan ke hospital di bandar Tainan minggu lalu setelah demam dan sakit teruk di bahagian bawah punggungnya.

Melalui imbasan ultrasound, doktor di jabatan kecemasan mendapati buah pinggang kanannya bengkak dengan cecair dan terdapat batu karang di dalamnya, kata artikel itu.

Imbasan tomografi mendedahkan bahawa batu itu berukuran kira-kira 5mm hingga 2cm, tambahnya, dan ujian darahnya menunjukkan bilangan sel darah putih yang tinggi.

Artikel itu mengatakan doktor memberinya antibiotik, mengalirkan cecair dari buah pinggangnya dan melakukan pembedahan invasif minimum untuk membuang lebih daripada 300 batu karang yang kelihatan seperti “roti kukus kecil”.

Keadaan pesakit stabil selepas pembedahan, dan dia dibenarkan keluar selepas beberapa hari pemerhatian, tambahnya.

Dr Lim Chye-yang, pakar urologi yang melakukan pembedahan itu, berkata 9.6 peratus penduduk di Taiwan mungkin mengalami batu karang dalam hidup mereka, dengan lelaki mempunyai tiga kali lebih berkemungkinan berbanding wanita.

Pesakit yang menghidap batu karang biasanya berumur antara 50 dan 60 tahun, tambahnya.

Dr Lim berkata kes batu karang lebih kerap berlaku pada musim bunga dan musim panas kerana cuaca panas, yang bermakna orang ramai mungkin lebih dehidrasi. Apabila air kencing menjadi lebih pekat, mineral bergabung dan mengkristal untuk membentuk batu.

Artikel itu mengatakan bahawa Xiao-yu tidak suka minum air dan sering minum teh buih.

Penyebab lain batu karang termasuk faktor genetik, penyakit kronik, serta diet yang tinggi kalsium dan protein.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top