Hospital Lahad Datu Tempa Sejarah Laksana Pembedahan TEP Pesakit Angin Pasang

bedah-angin-pasang.jpg

Pasukan pembedahan Dr Sanjay Dev Singh melakukan pembedahan sulung TEP terhadap seorang pesakit hernia di Hospital Lahad Datu. - Foto ihsan Jabatan Kesihatan Sabah

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Hospital Lahad Datu (HLD) menempa sejarah berjaya melaksanakan pembedahan ‘Laparoscopic Totally Extraperitoneal Inguinal Hernia Repair’ (TEP) terhadap seorang pesakit hernia atau angin pasang, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin, berkata kaedah pembedahan terbaharu itu sebelum ini hanya dilaksanakan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini.

Beliau berkata, berikutan kejayaan pembedahan pertama TEP di hospital itu, kini kes pesakit yang memerlukan pembedahan seumpama itu di Lahad Datu dan daerah sekitarnya akan dikendalikan di HLD.

“TEP ini adalah kaedah pembedahan baharu dan sebahagian daripada ‘minimally invasive surgery’ (MIS) yang mampu memberi manfaat kepada pesakit seperti kekurangan tahap kesakitan dan ‘early return to home’ berbanding kaedah pembedahan standard (open surgery).

“Pembedahan ini lazimnya dibuat di hospital tertiari seperti di HQE. Sebelum ini, pembedahan untuk diagnosis yang sama dibuat di HLD dengan menggunakan kaedah pembedahan standard atau terbuka.

“Dengan adanya kepakaran MIS ini di HLD, pembedahan TEP yang kurang invasif ini sudah mula dijalankan di sini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Pembedahan di Dewan Bedah HLD pada 21 Mac lalu itu dilakukan Pakar Pembedahan Am HLD, Dr Sanjay Dev Singh bersama pasukan Dewan Bedah HLD.

Dr Rose Nani berkata, pesakit yang menjalani pembedahan itu kini dalam keadaan sihat dan sudah discaj balik ke rumah selepas pembedahan.

Katanya, pembedahan itu adalah sebahagian daripada Global Surgery Initiative untuk meningkatkan fasiliti kesihatan dan keupayaan pakar kesihatan agar sentiasa memberi perkhidmatan yang terbaik untuk masyarakat khususnya warga Lahad Datu.

“Semoga perkhidmatan ini dapat memberikan kelegaan kepada warga Lahad Datu dan sekitarnya. Kepada semua Pasukan Kesihatan HLD, semoga sentiasa meningkatkan usaha untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya. – BHarian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top