TUARAN: Hospital Daerah Tuaran menerima sumbangan sebanyak 16 unit penghawa dingin dan dua unit mesin dialisis daripada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Penyerahan kemudahan itu dilakukan dalam satu majlis baru-baru ini.
Pengarah Hospital Daerah Tuaran, Dr. Primus John berkata, sumbangan itu bertujuan meningkatkan keselesaan pesakit serta mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan di hospital itu.
“Kemudahan ini akan memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat, terutama pesakit yang memerlukan rawatan dialisis.
“Sumbangan ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kemudahan kesihatan di Sabah terus dipertingkatkan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau bagi pihak Hospital Daerah Tuaran dan seluruh masyarakat daerah ini, mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah atas sumbangan yang amat bermakna itu. – Utusan Borneo