Hormati hak Warisan tanding solo, PKR Sabah teruskan rundingan dengan parti lain

Raymond-Ahuar.jpg

Raymond

KOTA KINABALU: PKR Sabah berkata pintu rundingannya masih terbuka walaupun Warisan mengumumkan akan bertanding solo pada PRN akan datang, lapor FMT.

Portal berita itu memetik Naib Ketua PKR Raymond Ahuar sebagai berkata keutamaan parti itu ialah meneruskan rundingan kerjasama dengan parti parti yang membentuk kerajaan Sabah semasa, tetapi ia turut terbuka berunding dengan parti lain.

“Kita serah kepada pucuk pimpinan kita, terutama perdana menteri yang juga presiden PKR berbincang bagi menentukan siapa rakan kongsi terbaik kita pada PRN nanti,” katanya kepada FMT.

Raymond berkata demikian selepas Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Sabtu lalu menolak spekulasi partinya mungkin membentuk pakatan pilihan raya dengan parti lain.

Raymond berkata, parti itu menghormati hak Warisan bertanding solo, yang akan menyebabkan peluang menang tipis kerana Sabah mempunyai pengundi berbilang kaum dan agama.

“Yang penting, kita nak pastikan kerajaan bawah pimpinan Anwar Ibrahim tidak terjejas dan kekal stabil di Putrajaya,” katanya.

Menurut Raymond, dinamika politik Sabah menyebabkan ia sukar dijangka kerana keadaan sentiasa berubah.

“Dalam politik, kita boleh cakap hari ini lain, esok lain dan dinamika politik Sabah susah nak ramal. Sejam sebelum buat keputusan akan ada perubahan, sekarang nampak bergaduh, esok boleh duduk sama-sama,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top