TAWAU: Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (HMATM) yang memulakan operasinya hari ini akan menerima seramai 20 orang pesakit sebagai permulaan.
HMATM yang menerima peruntukan RM500,000 daripada kerajaan itu akan mensasarkan 30 hingga 50 peratus pesakit akan dirawat pada minggu pertama ini.
Komander Hospital Medan Kolonel Dr Shamsul Bahary Muhammad berkata, hospital ini ada 100 katil dan pihaknya akan teruskan terima pesakit sehingga maksimum kapasiti.
“Hospital Medan yang didirikan di gelanggang badminton Kompleks Sukan Tawau itu menyediakan pelbagai disipilin perubatan termasuk perubatan am, ortopedik termasuk rawatan kesihatan wanita dan kanak-kanak,” katanya di sini.
Beliau berkata, 95 peratus peralatan dan sistem di Hospital Medan itu siap diuji selamat dan selebihnya memerlukan pembaikan kecil sahaja.
Sementara itu Pengarah Hospital Tawau Dr Norlimah Arsat berkata, hospital itu mampu menyokong Hospital Tawau dalam merawat kes-kes bukan COVID-19.
“Kerjasama ini dipercayai mampu menangani kes COVID-19 di pantai timur Sabah khususnya kes dari Semporna yang meningkat.
“Pihak kami mahu memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pesakit termasuk pesakit bukan COVID-19,” katanya. – berita/foto asal Utusan Borneo