Hishammuddin Tidak Mahu Layan Desas-Desus Dilantik TPM

hishammuddin-1.jpg
Kongsi Bersama

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien menafikan desas-desus bakal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) seperti yang ditulis oleh sebuah portal online.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan portal ‘The Vibes’ yang menyatakan lantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri adalah sebagai persediaan untuk dirinya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9.

Tegas Hishammuddin yang juga Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) , keutamaan dan fokusnya sekarang adalah memastikan pandemik Covid-19 ini berakhir dengan segera, dan katanya lagi, ekonomi negara harus diperkukuhkan semula.

“Seperti yang dinyatakan oleh artikel itu, saya menafikan desas-desus tersebut, dan tidak mahu melayan khabar angin itu.

“Kita perlu memfokuskan kepada penularan pandemik Covid-19 dan memperkukuhkan ekonomi,” tegasnya.

Cadangan itu timbul susulan pertemuan KDYMM Yang di-Pertuan Agong dengan kesemua pemimpin-pemimpin parti politik tanahair semenjak Rabu lepas dan akan berakhir pada hari ini.

Terdahulu, menurut sumber portal The Vibes Hishammuddin bakal dilantik Timbalan Perdana Menteri dalam masa terdekat.

Lantikan itu sebagai persediaan Hishammuddin dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan dari jawatan yang disandangnya.

Cadangan melantik Hishammuddin sebagai TPM kata portal tersebut amat mengejutkan semua pihak kerana beliau (Hishammuddin) tidak mempunyai jawatan dalam Majlis Tertinggi UMNO.

Menurut portal itu lagi, Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa, Dato Seri Azmin Ali akan menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada Hishammuddin.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top