RANAU: Hisap vape dipercayai punca beberapa pelajar dipukul sekumpulan pelajar lain di sebuah sekolah menengah berasrama, di sini, sehingga video kejadian itu tular di media sosial sejak kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, susulan kejadian itu, polis menahan 10 pelajar di sekolah berkenaan untuk membantu siasatan.
Menurut beliau lima pelajar ditahan pada Jumaat manakala lima lagi pada Sabtu.
“Semua pelajar yang ditahan berusia 15 hingga 17 tahun,” katanya ketika dihubungi, pada Sabtu.
Menurutnya lagi, semua pelajar kini dalam tahanan polis di dalam lokap dan akan dibebaskan dengan jaminan selepas siasatan ke atas mereka selesai.
“Siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada 3 Ogos lalu sebelum tular di media sosial semalam.
“Siasatan awal juga mendapati punca kejadian dipercayai pelajar yang memukul dikatakan tidak berpuas hati dan marah kepada mangsa (pelajar) yang penghisap vape kerana menyusahkan pelajar asrama yang lain,” katanya.
Simiun berkata, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut.
Kelmarin, tular satu rakaman video berdurasi lima minit 33 saat di media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp memaparkan mangsa dikerumuni sekumpulan pelajar di dalam sebuah bilik darjah di sebuah sekolah menengah.
Berita asal: HMetro