KOTA KINABALU: Beberapa NGO, antaranya Pertubuhan Lima Generasi (PLG) Sabah, telah membuat laporan polis terhadap aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza yang didakwa menghina bakal Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
PLG membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini pada Jumaat.
Menurut Setiausahanya Mohd Syarezan Abdul Samat, laporan polis itu adalah susulan penghinaan yang dibuat terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah melalui hantaran di media sosial.
“Fahmi Reza jelas kita lihat melalui beberapa hantaran media sosial yang agak menjengkilkan dan menghina TYT, Tun Musa.
“Sehubungan itu, jelas beliau telah memperlekehkan Yang di-Pertuan Agong dengan memainkan isu 3R (agama, raja dan kaum) iaitu cuba untuk mengganggu keharmonian dan perpaduan khususnya rakyat Sabah.
“Jadi kami dari PLG Sabah betul-betul mengharapkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengambil tindakan terhadap individu ini,” katanya.
Beliau dalam pada itu meminta kerajaan negeri turut mengambil tindakan terhadap kehadiran aktivis tersebut.
“Kami juga meminta Kerajaan Negeri melarang Fahmi Reza yang kini berada di Sabah daripada memasuki negeri ini kerana dia hanya membawa huru-hara dan mengganggu-gugat perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu.
Turut membuat laporan polis terhadap Fahmi ialah Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Tidak Berpencen (PVATTBM) Sabah dan Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57).
PVATTBM membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu semalam, manakala yang diwakili pengerusinya, Datuk Zulkarnian Mahdar, membuat laporan di IPD Sri Petaling di Kuala Lumpur hari ini.