KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki merasa terkilan dengan kenyataan yang diberikan oleh bekas Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia kerajaan Pakatan Harapan (PH)/Warisan, Datuk Mohamaddin Ketapi.
Jelas beliau, dakwaan pemimpin Warisan itu amat melampau yang mendakwa tragedi serangan oleh 235 orang warga Filipina yang bersenjata di Kg. Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada 11 Februari 2013 adalah satu sandiwara untuk menyelamatkan UMNO.
“Persoalannya apakah kematian 10 Anggota Polis dan dua anggota tentera yang terkorban akibat dibunuh dengan kejam merupakan satu sandiwara?
“Sudah hilangkah rasa simpati terhadap perasaan keluarga anggota keselamatan yang terkorban mempertahankan kedaulatan Sabah?,” soalnya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Seterusnya Dr Asyraf mengharapkan agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang tegas kepada Mohamaddin kerana melakukan penghinaan yang keterlaluan serta mengguris hati waris dan anggota keselamatan negara.
“Apa-apapun Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah sudah buat laporan polis terhadap Mohamaddin Ketapi. Harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera dan tegas terhadap fitnah hasutan dan penghinaan ke atas anggota keselamatan negara ini.
“Rakyat Sabah wajib tolak parti Warisan yang berterusan memainkan sentimen kebencian terhadap Semenanjung termasuk anggota keselamatan negara ini,” tegas Pengerusi Pemuda BN itu lagi. – UMNO Online