Himpunan ‘Kerajaan Gagal’ Dibiayai Lelaki Tertentu

Kerajaan-Gagal-DEMo-screenshot-1.jpg
Kongsi Bersama

JOHOR BAHRU: Himpunan ‘kerajaan gagal’ di Batu Pahat, pada subuh Aidilfitri dikatakan dirancang seminggu lalu dan dibiayai oleh lelaki tertentu, menurut sumber.

Menurut sumber, polis masih menjejaki lelaki berkenaan, selain menahan 20 suspek yang terlibat dalam himpunan itu.

Beberapa suspek, termasuk pembekal kain rentang himpunan, mengaku menerima bayaran daripada seorang lelaki tidak dikenali, sumber itu mengesahkan.

Turut menerima bayaran ialah suspek yang membeli suar untuk dinyalakan pada himpunan berkenaan, sumber itu mengesahkan.

Seorang daripada suspek turut memberitahu polis bahawa tunjuk perasaan itu mengambil masa seminggu untuk dirancang, menurut sumber.

Hasil siasatan awal polis mendapati himpunan yang membabitkan kira-kira 40 orang itu bertujuan menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan dan perbuatan itu boleh menggugat ketenteraman awam.

Menurut sumber, suspek membuat kain rentang untuk himpunan itu bagi menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang dikuatkuasa di seluruh negara.

Sumber itu berkata, siasatan menunjukkan himpunan itu diadakan pada malam Aidilfitri, ditambah dengan acara pembakaran suar supaya insiden itu ditularkan.

Ia dilakukan sebagaimana yang diarahkan oleh lelaki yang tidak dikenali yang mengagih bayaran atau ‘duit raya’ kepada suspek, menurut sumber.

Seorang daripada suspek juga menyatakan beliau mendapat bekalan suar daripada pembekal di Johor Bahru dengan harga RM25 sebatang.

Terdahulu, FMT melaporkan polis setakat ini menahan 20 orang, termasuk remaja, yang dipercayai terlibat dalam perhimpunan membabitkan pembakaran suar dan menaikkan kain rentang “kerajaan gagal” di Parit Raja, Batu Pahat, Johor.

Ketua Polis Batu Pahat, Ismail Dollah, berkata mereka yang ditahan adalah penduduk setempat berumur antara 16 hingga 28 tahun.

Menurut Ismail, siasatan dijalankan bawah Seksyen 144, 269, 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan, Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan.

Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi hari ini menafikan sebarang kaitan dengan perhimpunan itu, dan Parit Raya di bawah kerusi Parlimen Sri Gading, bukannya Batu Pahat.

Katanya, beliau mungkin dipersalahkan kerana merupakan ketua Umno Bahagian Batu Pahat yang sering mengkritik Perikatan Nasional sebagai kerajaan gagal. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top