HIDE: Sabah Benarkan Tiga Kompleks Beli Belah Beroperasi

suriasabah.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memutuskan untuk tidak melaksanakan penutupan tiga kompleks beli belah di negeri ini yang disenaraikan dalam sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE).

Tiga kompleks beli belah terbabit iaitu Suria Sabah, Centre Point Sabah dan Kompleks Karamunsing di sini, tersenarai antara lebih 100 lokasi tumpuan umum di bawah HIDE di seluruh negara yang diarah tutup untuk sanitasi selama tiga hari.

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata kerajaan negeri hanya akan mengarahkan penutupan terhadap kompleks beli belah terbabit atau mana-mana premis jika ada kes positif COVID-19 selepas membuat penilaian risiko.

“Aktiviti perniagaan di kompleks beli belah Suria Sabah, Kompleks Karamunsing dan Centre Point Sabah beroperasi seperti biasa. Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan membuat kawalan di semua pintu masuk untuk memastikan bilangan pengunjung yang memasuki premis ini tidak melebihi daya tampung yang dibenarkan.

“Pengunjung kompleks membeli belah pula hendaklah sentiasa mematuhi semua amalan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu pendaftaran nama, memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan membasuh tangan serta menggunakan sanitasi,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata pada Ahad Sabah mencatat 61 kes baharu COVID-19 dengan kebanyakannya berpunca daripada saringan kontak rapat, membabitkan 30 kes atau 49.2 peratus, diikuti 25 kes atau 41 peratus melalui saringan kluster sedia ada.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top