Hiasan Bulatan Jalan Chester bangkit ‘mood’ Bulan Kebangsaan, Hari Malaysia di Tawau

merdeka-tawau.jpg

Majlis perasmian hiasan merdeka Bulatan Jalan Chester diadakan di Tawau malam tadi, disempurnakan Ahli Parlimen Tawau Lo Su Fui. - Foto BERNAMA

Kongsi Bersama

TAWAU: Bulatan Jalan Chester yang terletak di tengah bandar ini dihiasi Jalur Gemilang serta bendera setiap negeri, selain ditambah dekorasi berlampu bunga raya, bulan dan bintang bagi membangkitkan ‘mood’ sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia di daerah ini.

Presiden Dewan Perniagaan Tionghua Tawau Chia Seong Fat berkata pihaknya diberi tanggungjawab oleh Majlis Perbandaran Tawau (MPT) untuk menghiasi bulatan jalan itu dan kerja-kerja pemasangan berkenaan disiapkan dalam tempoh tiga minggu dengan peruntukan hampir mencecah RM20,000.

“Saya mewakili semua pihak terlibat termasuk Usahawan Borneo, berbesar hati untuk bersama menyemarakkan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia di Tawau,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian hiasan merdeka Bulatan Jalan Chester di sini malam tadi.

Malam tadi ribuan pengunjung membanjiri Pasar Malam Chester yang cukup terkenal di sini, yang diadakan pada setiap malam Jumaat serta Sabtu, dan majlis perasmian hiasan yang disempurnakan oleh Anggota Parlimen Tawau Lo Su Fui malam tadi, menambah lagi kemeriahan suasana.

Lo ketika ditemui selepas perasmian berkata beliau berharap penduduk Tawau dapat mengibarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan ini sebagai tanda cinta kepada negara.

Bagi seorang penduduk Tanjung Batu di sini Arliza Michael, 40, beliau berharap pihak berkuasa tempatan dapat merancang lebih banyak program Bulan Kebangsaan pada masa hadapan termasuk mengadakan perarakan kemerdekaan bagi memeriahkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan.

“Program menghiaskan Bulatan Chester ini menarik dan memeriahkan daerah Tawau, kalau tidak sambutan Bulan Kebangsaan pasti suram sahaja selepas pandemik COVID-19,” katanya.

Penduduk Taman Semarak, Wirmasusanti Mahtat Hams, 36, pula berkata hiasan di Bulatan Jalan Chester itu akan dapat membantu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai sambutan Bulan Kebangsaan dan kempen kibar Jalur Gemilang.

“Saya juga sudah pasang Jalur Gemilang di rumah, menyemai semangat patriotik ini perlu dimulakan dari rumah kerana ada anak-anak yang boleh kita tunjuk ajar,” katanya.

Sementara itu Presiden MPT Joseph Pang ketika ditemui di majlis perasmian itu berkata pihaknya mengeluarkan pekeliling kepada premis kedai dan pejabat serta menguar-uarkan kepada penduduk agar mengibarkan Jalur Gemilang bermula 1 Ogos lepas. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top