Herba: Manfaat kesihatan dan peluang ekonomi komuniti luar bandar

Dr-Jeffrey-herba.jpg

Kredit foto: Jeffrey G. Kitingan Page

Kongsi Bersama

PENAMPANG: Penanaman herba bukan sahaja membawa manfaat kesihatan, malah membuka peluang ekonomi yang signifikan, khususnya kepada komuniti luar bandar yang memiliki tanah subur dan sesuai untuk tujuan tersebut.

Demikian menurut Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, ketika merasmikan Karnival Herba Sabah 2024 di ITCC Mall, Penampang, semalam.

Dalam ucapannya Kitingan turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Penanam Herba Borneo Utara Sabah atas usaha mereka memajukan industri herba di negeri ini.

Karnival Herba Sabah 2024 yang berakhir hari ini bukan sekadar memperkenalkan pelbagai jenis herba dan produknya, malah menggalakkan kefahaman tentang potensi besar herba sebagai komponen penting dalam perubatan tradisional dan komplementari.

“Karnival ini bukan hanya pameran atau jualan produk herba, tetapi ia adalah platform yang menyatukan pelbagai pihak termasuk petani herba, pengusaha produk, dan kerajaan. Ia membolehkan mereka berkongsi pengetahuan, pengalaman, dan seterusnya memperkasakan industri herba di Sabah,” kata Kitingan.

Beliau menambah bahawa kejayaan karnival itu akan memberikan impak besar kepada pembangunan ekonomi negeri, terutamanya dalam sektor pertanian dan kesihatan.

Sempena majlis itu, Kitingan mengusulkan beberapa langkah penting untuk memajukan industri herba di Sabah. Pertama, mendaftarkan ‘Karnival Herba Sabah’ sebagai hak cipta dan tanda dagangan bagi memperkukuhkan identiti serta reputasi acara ini di peringkat nasional dan antarabangsa.

Kedua, memperkukuh hubungan antara kerajaan Sabah dan persatuan melalui pelbagai program kerjasama untuk mempromosikan ekonomi herba serta meningkatkan kesedaran di kalangan komuniti luar bandar.

Ketiga, membangunkan ekosistem mampan yang melibatkan penanam herba, pengeluar produk herba, dan sektor perniagaan untuk meningkatkan pendapatan serta kesejahteraan masyarakat di Sabah.

Akhir sekali, menerbitkan buku-buku profesional seperti monograf dan farmakope untuk memelihara ilmu tradisional mengenai penggunaan herba, sekaligus melestarikan warisan tempatan.

Kitingan, yang juga Timbalan Ketua Menteri 1, optimis bahawa dengan komitmen padu dari semua pihak, Karnival Herba Sabah 2024 akan terus berkembang dan menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan, bukan sahaja di Sabah tetapi juga di peringkat kebangsaan.

Beliau menegaskan bahawa herba Sabah bukan sahaja produk bernilai tinggi dan bermanfaat, tetapi juga mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang mampan serta memperkasakan masyarakat.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Presiden Persatuan Penanam Herba Borneo Utara Sabah, Norhanida Annol; wakil dari FRIM, Puan Rohana; dan Pengurus Besar ITCC Mall Penampang, Benjamin Malakun.

 

Sumber: Jeffrey G. Kitingan Page

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top