Hentikan Sikap Jejaskan Pasukan Sabah FC – Bung Moktar

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi amaran kepada pemain-pemain Sabah FC supaya menghentikan sikap yang boleh menjejaskan pasukan itu.

Katanya, sebarang permainan gosip perlu dihentikan kerana ia boleh menjejaskan pasukan.

“Kita kena hentikan, cukup, cukuplah. Saya beri amaran yang terakhir,” katanya pada Majlis sungkai Sabah FC di Pusat Persidangan Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, semalam.

Amaran beliau itu sebagai susulan tindakan beberapa pemain Sabah FC baru-baru ini dilaporkan memboikot latihan mereka ada susulan kelewatan pembayaran gaji dan membiarkan isu berkenaan berlegar di media sosial.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata beliau tidak boleh bertolak ansur dengan tindakan sedemikian dan akan mengambil tindakan.

Katanya, pemain-pemain seharusnya menunjukkan semangat patriotik terhadapan pasukan sendiri  dengan menunjukkan   sifat-sifat kasih sayang, kesetiaan dan kecintaan dalam pasukan.

“Jika tiada sifat-sifat kecintaan, ia boleh dianggap sebagai pembelot.”

“Jangan main-main, saya tidak main politik apabila saya mahu rombak SAFA dan Sabah FC,” tegas Bung Moktar.

Pemangku Presiden SAFA itu menjelaskan pihaknya sedar risiko apabila mengambil keputusan untuk menerajui persatuan bola sepak itu termasuk untuk merombak Sabah FC.

“Saya telah melakukan pengorbanan termasuk wang ringgit, masa dan pengetahuan. Namun tiada siapa yang tahu,” katanya.

Ketika ditanya wartawan kemudian, Bung Moktar meminta pemain Sabah FC mempunyai kesatuan dalam pasukan dan tidak memikirkan soal  kepentingan peribadi yang boleh menjejaskan pasukan.

“Matlamat kita bukan untuk menang semata-mata tetapi persembahan yang terbaik pasukan supaya para penyokong berpuas hati,” tegasnya.

Katanya, jangan lagi ulangi sikap yang menjejaskan pasukan sebaliknya Sabah FC perlu terus maju menjadi pasukan yang kuat.

“Perkara yang tidak sewajarnya jangan lagi ditimbulkan. Jangan belum main lagi, pasukan sudah kalah,” katanya.

Mengenai perlawanan menentang pasukan UITM FC di Stadium Likas, Sabtu ini, Bung Moktar berkata, pihaknya berkeyakinan Sabah FC mampu untuk mengutip tiga mata penuh di halaman sendiri.

Katanya, berdasarkan situasi perlawanan dengan Penang FC di luar minggu lalu, Sabah FC boleh mengutip mata dalam perlawanan tersebut.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *