Oleh : Mustaman Mustain
SANDAKAN : PAS Sabah menyarankan agar semua parti politik di Malaysia menghentikan polemik politik sebaliknya memberi fokus terhadap usaha menangani pandemik COVID-19.
Pendekatan ini amat penting memandangkan kes harian COVID-19 di Malaysia menunjukkan angka yang amat membimbangkan walaupun kerajaan telah melaksanakan ‘total lockdown’.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Penerangan PAS Sabah, Haji Ahmad Dullah dalam satu kenyataan di Kalabakan, semalam.
Tambahnya, catatan kes harian COVID-19 yang tinggi serta kes kematian yang bertambah setiap hari amat menagih semua pihak bekerjasama tanpa mengira fahaman politik untuk mengatasi pandemik itu.
“Kejayaan untuk mengurangkan penularan COVID-91 dalam masyarakat banyak bergantung kepada sejauh mana kepatuhan terhadap SOP dan ia amat memerlukan sokongan orang politik bagi menyampaikannya kepada rakyat,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Kalabakan.
“Justeru itu, semua pihak termasuk parti-parti pembangkang perlu mengambil tanggungjawab serius dan memainkan peranan yang sewajarnya bagi memastikan graf penularan COVID-91 dalam masyarakat dapat dilandaikan,” tambahnya.
Beliau dalam kenyataan sama turut menyarankan orang ramai untuk membuat pendaftaran vaksin COVID-19 serta menyokong usaha ini dan tidak terpengaruh dengan berita palsu tentangnya yang tersebar dalam masyarakat.
“Bukan sahaja kerajaan, malah parti politik pembangkang juga perlu menyokong pengambilan vaksin ini dengan membantu pendaftaran orang ramai serta menggalakkan mereka mengambil vaksin,” ujasnya.
Haji Ahmad mengharapkan dengan kerjasama yang utuh antara parti kerajaan dan pembangkang mampu memberi kejayaan kepada negara dalam memerangi pandemik COVID-19.