SIPITANG: Rakyat di negara ini terutamanya generasi muda perlu menghayati tema Hari Kebangsaan iaitu ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ dalam mengukuh perpaduan demi masa depan Malaysia.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata tema itu menceritakan harapan rakyat negara ini yang berbilang latar belakang untuk bersatu walaupun berdepan perbezaan bagi memastikan negara terus aman dan makmur demi generasi akan datang.
Beliau berkata tema Hari Kebangsaan tahun ini amat tepat pada masanya iaitu Ketika negara berusaha mengejar kemajuan dengan berteraskan tamadun dan peradaban yang ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Malaysia MADANI.
“Tamadun dan peradaban kemudian kemajuan ini tidak mungkin kita capai untuk negara kita jika tiada perpaduan, ini hanya terjadi jika kita bersatu hati. Apapun usaha kita untuk maju atau untuk bangunkan negara tidak akan terjadi melainkan dengan perpaduan.
“Ilmu juga penting seiring perpaduan kerana tanpa ilmu kita tidak boleh maju, maka amat tepat bahawa asas utama masyarakat MADANI itu adalah perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Fiesta Integrasi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023 melibatkan konvoi dari Sabah, Sarawak dan Labuan di sini pada Sabtu malam.
Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan (Japen) Sabah Jainisah Mohd Noor, Pengarah Japen Sarawak Jaafar Jantan, dan Pengarah Japen Labuan Azman Sipan.
Sumber: BERNAMA