Hasyuda Abadi Penerima Anugerah Sasterawan Sabah Ketiga

Hasyuda-Abadi.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pengarang prolifik, Sukor Usin yang lebih dikenali sebagai Hasyuda Abadi terpilih sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sabah Ketiga.

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Aminah Awang Basar, berkata penilaian berdasarkan pencapaian karya dan kepengarangan Hasyuda Abadi dari aspek kesan pemikiran kepada masyarakat.

Selain itu katanya, pengiktirafan karya dan ketokohan serta kegiatan pengarang kelahiran Beaufort itu khususnya dalam gerakan kesusasteraan dan kebahasaan, bukan sahaja di Sabah bahkan kebangsaan, serantau dan antarabangsa.

Beliau berkata, kepengarangan Hasyuda Abadi sering dikaitkan dengan genre puisi sehingga meraih banyak anugerah sastera peringkat negeri dan kebangsaan khususnya Hadiah Sastera Sabah (HSS) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

“Ini menyerlahkan keunggulannya sebagai karyawan yang berdiri sama tinggi dengan pengarang prolifik peringkat kebangsaan dan serantau,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, pada Khamis.

Hasyuda juga adalah penerima HSS Tahun Penilaian 2020/2021, kategori ‘ Puisi Eceran’ menerusi karyanya berjudul ‘Pusaka’ yang diterbitkan dalam Antologi Puisi Suara dari Satu Musim, Jom Sastera, Ogos 2020.

Kepengarangan Hasyuda Abadi bermula secara lebih empat dekad lalu. Sejak tersiarnya puisi beliau yang berjudul “Mengapa Oh Mengapa” dalam Sabah Times bertarikh 13 Disember 1980, bakatnya terus berkembang apabila sejumlah besar puisinya diterbitkan dalam pelbagai medium penerbitan.

Empat tahun selepas tersiar puisi pertamanya pada tahun 1980, puisi “Salam Buat Kekasih” memenangi Hadiah Sastera Malaysia pada tahun penilaian 1984/1985. Pencapaian yang cukup cemerlang bagi seorang penulis muda ketika itu.

Sehingga kini, beliau menghasilkan lebih daripada 400 buah puisi yang tersiar dalam akhbar dan majalah. Sejumlah puisi beliau turut diterbitkan dalam lapan buah kumpulan puisi perseorangan dan lebih daripada 60 buah antologi puisi, bersama-sama dengan pengarang lain, justeru tidaklah menghairankan jika dikatakan “forte” Hasyuda Abadi ialah puisi.

i samping itu, Hasyuda Abadimenghasilkan kira-kira 45 buah cerpen, 300 buah esei sastera dan 15 buah skrip drama pentas dan radio. Cerpen Hasyuda Abadi telah diterbitkan dalam beberapa antologi dan kumpulan cerpen, antaranya Rantau Utara (1989), Ibrah (2003), Sepasang Sayap Jelita (2004), Ega (2008) dan Aki Sompoton 2 (2008).

Esei beliau diterbitkan dalam pelbagai buku dan prosiding, antaranya, Idealisme dan Intelektualiti dalam Karya (2005), Kumpulan Esei Kritikan Penulis Sabah (2010) dan Bahasa-Sastera Negara Serumpun dalam Perspektif Sejarah dan Masa Depan (2015).

Skrip drama beliau diterbitkan secara bersama dalam buku Unduk Ngadau (2005). Hasyuda Abadi ternyata memiliki bakat kepengarangan yang cukup ampuh dalam pelbagai genre.

Hasil karya beliau sering tersiar dalam media tempatan di Sabah seperti Harian Ekspres, Sabah Times, Borneo Mail, Berita Sabah dan Utusan Borneo. Karyanya turut termuat dalam media nasional seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sejak karyanya mula diterbitkan pada tahun 1980, Hasyuda Abadi terus prolifik apabila hampir setiap minggu karyanya tersiar dalam media di Sabah. Ketekalan pengkaryaannya, pencapaian karya dan ketokohannya sepanjang lebih empat dekad, memberikan kelebihan kepada beliau selaku penerima anugerah.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top